Takziah dan tahniah atas Aziz Singah

SUBKY LATIF | .

TAKZIAH kepada keluarga Datuk Aziz Singah, seniman yang meninggalkan kita baru-baru ini. Dan saya menyampaikan setinggi tahniah atas berita kematiannya itu.
    
Tahniah itu bukan kerana kematiannya tetapi justeru wasiatnya kepada anaknya supaya mengimamkan jenazahnya dan wasiatnya itu telah ditunaikan oleh seorang daripada anaknya.
    
Kebanyakan orang mencari orang lain mengimamkan jenazah kerana tiada anak sendiri yang mampu mengimamkannya sedang yang terbaik bagi seorang si mati dia diimamkan oleh anak sendiri dan soleh pula.
    
Datuk Aziz Singah adalah jiran saya 40 tahun dulu di Taman Tan Yew Lai, Petaling. Pelakon filem lain jiran saya di situ ialah Abdul Rahman Adam, Musa Al-Bakri dan Rubiah Suparman. Saya kenal isterinya.
     
Selama-lamanya saya mengenali Aziz Singah sebagai orang wayang. Apapun profesion pilihannya itu bagi masyarakat Melayu ia dikenali sebagai orang wayang. Dalam masyarakat selepas merdeka penggiat seni mendapat pengiktirafan sebagi golongan yang berperanan dalam masyarakat.
      
Akhir-akhir ini ramai penggiat seni yang dikatakan anak wayang berhijrah ke dunia dakwah. Ramai seniwati menerima tawaran berlakon tetapi tidak mahu gambaran yang tidak berhijab.
     
Saya lama tidak bertemu Aziz Singah. Saya amat menghormatinya dan mengetahui dia ada dua orang anak yang menuntut ilmu agama. Ketika ramai lulusan pengajian tinggi agama menghantar anak-anaknya belajar dalam bidang profesional seperti peguam, doktor dan macam-macan teknologi, seniman Aziz menghantar anak ke sekolah agama mendalami ilmu al-Quran yang melayakkan mereka menjadi orang berilmu agama.
     
Menjelang matinya daripada berita yang saya baca, dia berwasiat kepada anaknya yang belum berusia 20 tahun supaya mengimamkan solat jenazahnya dan berpesan kepada anak-anaknya supaya meneruskan pengajian yang lebih tinggi.
     
Wasiatnya telah tercapai. Apalah yang paling bahagia bagi seorang bapa selain daripada jenazahnya diimamkan oleh anak sendiri. Apa lagi apabila anak yang berpendidikan agama itu dapat mendoakan kebahagiannya di alam akhirat.
      
Segala kejayaan Aziz dalam hidup tidak dibawa ke alam kubur. Harta dan waris meninggalkannya bersendirian di kubur sana. Tetapi amal jariah dan doa anak yang soleh nescaya dapat menemankan penghuni kubur.
     
Pada pandangan kasarnya anak wayang yang terkenal itu telah meninggalkan anak yang moga-moga berguna kepadanya sebagai arwah dan kepada ummah yang ditinggalkannya. Aziz dipercayai dan didoakan dapat anak yang dihajati itu.
    
Sekalipun pada awal hidupnya dia memilih menjadi anak wayang tetapi di akhir hidupnya Allah telah memberinya anak-anak yang dapat mengimamkan solat jenazahnya dan tentunya dapat terus menerus mendoakan kerukunannya di akhirat.
    
Dia telah menyediakan anak yang berguna. Kiranya anak-anaknya itu berupaya pula mencapai taraf ulama terbilang, lagilah bahagianya di alam kubur.
    
Moga-moga setiap orang dapat menjadi macam Aziz Singah. Maka selayaknya saya memberi tahniah kepada si mati itu. Anaknya bukan saja mengimamkan solat jenazahnya dan dipercaya dalam mengimam lebih banyak jenazah selepas ini. Selagi anak-anaknya beramal soleh maka arwah Aziz Singah nescaya sentiasa disirami salji putih dari langit. – HARAKAHDAILY 19/7/2016

Share on Myspace