Peri tol Terengganu dan parkir di Kuala Lumpur

SUBKY LATIF | .

DALAM huru-hara tuntutan agar tol di lebuh raya dimansuhkan beberapa tahun ke belakangan ini, hingga logiknya dikesan oleh MP-MP penyokong kerajaan, maka Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ditol mulai pertengahan Julai ini.
     
Ketika sekalian penghuni Lembah Kelang berteriak akan peritnya perbelanjaan hidup masing-masing, DBKL dengan serba alasan menaikkan kadar bayaran parkir kereta hingga 150 peratus.
     
Ia adalah tambahan beban kenaikan harga ayam pada raya puasa lalu dan segala kesan penguatkuasaan GST sejak April tahun lalu.
     
Semua terkesan akan penderitaan yang rakyat alami itu, tetapi ia tidak menghalang kerajaan dan pentadbiran yang untuk menambah penderitaan sekalian rakyat.
    
Sekalian wakil orang yang prihatin mengira ia menambah beban rakyat, tetapi ia sebenarnya ada satu penindasan daripada kerajaan dan dihalalkan oleh kerajaan. Apabila ia dihalalkan oleh kerajaan sah pilihan rakyat apa yang  rakyat dapat buat bagi menghalang penindasan itu?
     
Hanya demokrasi yang tidak dapat dipakai itu saja sebagai jalan keluarnya. Tetapi demokrasi yang ada itu tidak terpakai.
    
Adakah para pemimpin yang bertemuluk besar itu tidak faham dan tidak belas akan jerit pekik penindasan yang umat alami itu? Mereka faham tetapi mereka tidak boleh buat apa kerana poket kerajaan sendiri kering.

Sekalian pemimpin itu pula tidak bersedia melepaskan kuasa untuk ditangani oleh pihak lain, kerana jika mereka lepas kuasa secara sukarela atas nama demokrasi dan sebagainya, maka mereka akan terkena kesan penindasan itu atau dalam kata lain ia seperti mereka menindas diri sendiri.
     
Dengan hutang negara yang melambung, dan kerajaan tidak berduit, hendak menampung keperluan semasa pun tak cukup. Sebelum DBKL menaikkan bayaran parkir, pegawai-pegawai kerajaan sudah tidak ada parkir percuma di pejabat masing-masing. Para doktor di hospital terpaksa bayar RM250 sebulan bagi parkir yang selama ini percuma. Tiada jabatan dan pejabat yang berduit sekarang.
    
Tiada cara bagi kerajaan menyelamatkan diri selain daripada menaikkan cukai dan mendapatkan apa saja yang boleh didapati daripada orang ramai. Tok lebuh raya dan kenaikan parkir itu adalah cara yang kerajaan terfikir bagi mendapatkan duit.
    
Negara ini ketika ditinggalkan oleh British dulu melimpah ruah duitnya. Ketika Tunku Abdul Rahman diundurkan dulu masih berduit. Pada 13 Mei, 1969 dulu ringgit Malaysia sama kuku dengan Mark Jerman. Tetapi duit kita sekarang dekat menyamai duit cap pisang dalam musim Jepun dulu.
    
Tol di Terengganu itu adalah menambah penindasan kerajaan terhadap rakyat. Parkir baru di Kuala Lumpur itu adalah tambahan kepada penindasan yang ada.
    
Rakyat tidak dapat buat apa terhadap kerajaan yang menindas itu. Apa yang dapat dibuat ialah mengumpul dengan segala macam penindasan yang ada. Keadaan rakyat kini kira sama dengan suasana yang dialami oleh penduduk Madyan pada zaman Nabi Syuib dulu. Penguasa wilayah dan sekalian pembesarnya menunggu di setiap lorong merompak rakyat yang lalu.

Menggunakan timbangan dan penyukat jual beli tipu. Kaum Lut yang berpenyakit liwat itu juga hidup dengan merompak sesiapa yang datang ke Sadum.
     
Moga-moga jangan keburukan zaman Nabi Lut dan Nabi Syuib itu sampai melanda Malaysia yang BN pimpin ini.
    
Maka kita menunggu lebih banyak penindasan kerajaan. Apabila penindasan itu sampai ke tahap matang, tibalah masa kerajaan dan sistem yang ada itu dibinasakan. Najib lupa demokrasi, tetapi demokrasi tidak lupa Najib. – HARAKAHDAILY 24/7/2016

Share on Myspace