Kenapa Gulen bermusuh dengan Erdogan

SUBKY LATIF | .

HOJAEFENDI (Hucaefendi) Fethullah Gulen adalah satu nama besar yang berpengaruh dalam masyarakat umat Islam Turki beberapa dekad kebelakangan ini yang dikaitkan oleh Presiden Erdogan sebagai perancang di belakang percubaan rampasan kuasa di Turki 15 Julai lalu.
     
Pertentangan antara Erdogan dan Hojaefendi itu tidak mengejutkan tetapi yang ajaibnya bagaimana mereka bersekutu, memungkinkan Erdogan berkuasa di Turki 2003.
    
Sepanjang kebangkitan kesedaran Islam di Turki sejak beberapa dasarwasa lalu kumpulan politik Islam pimpinan Erbakan yang Erdogan adalah penyokongnya adalah bersaingan sengit dengan gerakan dakwah pimpinan Hojaefendi Gulen.
    
Gerakan politik Islam Erbakan itu tidak disokong oleh sekalian penyokong gerakan dakwah Nur yang melanjutkan perjuangan dakwah tokoh Islam Badiuzaman Said Nursi. Said Nursi menentang kezaliman dan sekularisma Kemal Ataturk tetapi tidak memilih kaedah politik. Maka pengikutnya setelah ketiadaannya tidak menyertai gerakan politik.
     
Ketika politik Islam acap dilanda penindasan kerajaan dan tentera, penyokong Gulen boleh berbaik dengan gologan penindas.
    
Hubungan antara keduanya boleh disamakan apa yang PAS hadapi di Malaysia. Ketika PAS menyanggahi isu-isu Islam daripada golongan pemerintahan, maka ada ulama dan prodakwah bersama dan membela kerajaan. Apabila pro-Islam bertelagah, maka ia menguntungkan propaganda kerajaan. Inilah masalah yang dihadapi oleh gerakan politik Islam Turki dengan pendirian penyokong An-Nur dan Gulen.
    
Anak-anak saya pernah ditaja oleh sekolah Islam An-Nur. Ketika saya bertemu Erbakan di Istanbul, saya terangkan hal anak saya itu. Erbakan bertanya saya, bagaimana orang PAS yang dikiranya sekutu politik Islam di mana saja boleh ada hubungan dengan badan Islam tidak menyokong politik Islamdi Turki?
    
Dari situ tahulah saya akan hubungan tegang antara dua golongan pro-Islam itu.
     
Ketika saya berbincang dengan aktivis Parti Refah yang Perdana Menterinya Erbakan dipaksa tentera meletak jawatan dan diganti parti lain yang anti Islam, Gulen dan An-Nur dikatakan mengambil sikap berbaik  dengan kerajaan baharu.
      
Tekanan tentera dan politik anti Islam itu ikut melucutkan Erdogan sebagai Datuk Bandar Istanbul. Terang-terang aktivis pro-Erbakan dan pro-Erdogan itu menyifatkan Gulen dan gerakan dakwahnya sebagai musuh, kerana kata mereka, pada masa kerajaan pro-Islam ditekan oleh musuhnya, musuh itu boleh diterima baik oleh Gulen dan penyokongnya. Maka siapa yang berbaik dengan musuh gerakan Islam sekalipun dari kalangan pro-Islam, ia adalah musuh kami.
     
Maka bagaimana boleh Erdogan boleh jadi sekutu Gulen?
    
Apabila Refah diharamkan, Erbakan tubuhkan parti lain. Parti lain itu juga diharamkan. Apabila Erbakan tubuh yang baru, Erdogan dan Abdullah Gul tidak ikut serta kerana tiada kesudahannya bagi parti pimpinan Erbakan.
    
Erdogan pun menubuhkan partinya sendiri. Tentulah perpecahan penyokong Erbakan itu menyenangkan golongan dakwah tidak berpolitik yang sejak lama berselisih. Sokongan Gulen terhadap parti Erdogan yang tidak menunjukkan diri sebagai pro-Islam, boleh menyekat pengaruh Erbakan.
     
Kemenangan Erdogan menyebabkan pertama kali Erbakan tiada ada di Parlimen sejak dia berpolitik. Berbulan madu antara Erdogan dan Gulen itu tidak lama. Golongan pro-Islam bertambah kuat di Turki. Yang bersama Erdogan itu kebanyakannya adalah penyokong lama Erbakan. Sekalipun Erbakan ada parti sendiri, tetapi orangnya  ramai bersama Erdogan.
     
Islam selesa di bawah pemerintahan Erdogan. Sikap tidak partisan gerakan dakwah terhadap politik tidak mudah diteruskan. Tiada ruang bagi dakwah mengatakan politik tiada dalam Islam. Politik tidak berpolitik Gulen tidak dapat tempat pada Erdogan.
    
Gulen pun lari ke Amerika. Pemimpin tentera yang dikatakan ketua rampasan kuasa berkata, rampasan kuasa itu didalangi Gulen. – HARAKAHDAILY 27/6/2016

Share on Myspace