Amerika hanya bersalah jika ancam Najib

SUBKY LATIF | .

SEMUA cicak dan mengkarung serta anak cacing di lubangnya mempertikai pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika terhadap penggelapan orang tertentu tentang dana 1MDB. Sekalipun pendedahan Peguam Negara Amerika itu tidak menyebut nama Perdana Menteri Najib sebagai orang yang diburu tetapi moral pendedahan itu telah meletakkan Perdana Menteri dalam serba kepayahan.
     
Semua pintu dalam negeri ditutup kedap bagi melindungi PM Najib tetapi pekung itu meletup di Amerika oleh kerajaan Amerika. Bila Amerika melepaskan bomnya, payah ada perisai boleh menangkis ledakannya.
    
Apapun biar kebijaksanaan Malaysia dan ketangkasan Amerika mengadili segala kecurangan terhadap 1MDB.
    
Yang menarik perhatian ialah semua cicak dan mengkarung bangun mengherdik Amerika atas tindakannya itu antaranya termasuk pemburu anak tiri Perdana Menteri dan menggunakan bahasa Pegawai Satu kerajaan sebagai orang yang sama menyangak harta negara itu. Maka semuanya dapat mengagak siapa yang dimaksudkan oleh perumpamaan yang Amerika guna itu.
     
Lebih menakjubkan Pemuda Umno yang pimpinannya Khairy Jamaluddin membuat aduan polis terhadap beberapa penting dalam isu penyiasatan skandal itu dikatakan bersubahat dengan Amerika untuk menggulingkan Perdana Menteri.
    
Aduan budak-budak KJ itu tidak membersihkan nama baik PM Najib tetapi adanya perkongsian maklumat orang penting dalam negeri dengan FBI.
    
Apapun hubungan antara Malaysia dengan Amerika amat akrab sejak merdeka lagi. Dalam dalam semua perkara boleh dikatakan Malaysia menerima baik apa jua yang Amerika anjurkan. Ketika Amerika dulu mengira PLO dan Yasser Arafat adalah pengganas, Malaysia tidak berani berjumpa mana-mana orang Palestin.
    
Kerana Mesir dan Amerika dalam keadaan berperang menjelang kemerdekaan dulu sekalipun Tun Razak sebagai orang nombor dua dalam kerajaan menamakan anak sulung, Najib sempena nama jeneral yang mengguling Raja Mesir bersama Kolonel Gamal Abdel Nasser, Tanah Melayu tidak mengundang Mesir dalam acara sambutan kemerdekaan itu kerana menjaga hubungan baik dengan Amerika.
     
Ketika Amerika mengenakan kepungan ekonomi kepada Saddam Hussein sebelum PBB membenarkan Iraq diserang, Malaysia menyokong tindakan Amerika itu. Orang kata TPPA anjuran Amerika itu adalah ancaman kepada kemerdekaan Malaysia, Umno dan kerajaan menjadi penyokong TPPA.
    
Sekarang Amerika memerangi orang Islam yang disyaki pengganas IS, Malaysia ada bersama dengan Amerika memburu siapa saja yang disyaki pengganas. Hatta sesudah Jabatan Kehakiman Amerika mendedahkan bertindak terhadap orang yang disyaki menyangak 1MDB, PM Najib dan TPM Zahid Hamidi masih bercakap tentang kerjasama erat dengan Amerika.
     
Malah dalam banyak urusan jenayah antarabangsa Malaysia sentiasa mendapat bantuan maklumat dan lain-lain dari Amerika. Dan Malaysia memang memerlukan sokonga Amerika bagi mendapatkan pelaburan yang sebanyak-banyaknya dan mahukan pelancong Amerika datang ke sini seramai-ramainya.
    
Pendek kata tidak banyak yang bersalahan dalam urusan politik, ekonomi, dagang, keselamatan dan pendidikan antara Malaysia dan Amerika. Tiada banyak yang Umno dan pembesar Malaysia takwil tentang apa juga yang Amerika anjurkan kepada malasia.
    
Hanya sekali ini apabila Amerika bertindak terhadap apa yang rakyat dan kerjaan Malaysia tidak dapat buat tentang skandal 1MDB, Amerika dikira tidak berguna. Sebabnya tindakan Amerika itu meletakkan PM Najib di sumbu mercun, menunggu masa meletup, lecurlah tubuh.
    
Kenapa semua anjuran Amerika dijunjung, kerana Najib terancam cicak dan mengkarung kata Amerika tidak guna? - HARAKAHDAILY 2/8/2016

Share on Myspace