Hak negeri adakan pilihan raya negeri

SUBKY LATIF | .

ATAS apa sebab jua kerajaan DAP hendak menyegerakan Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang adalah haknya.
     
Tidak berbangkit ia membazirkan wang negara atau wang negeri. Demokrasi tidak pernah mengira duit yang terpaksa dibelanjakan. Yang penting ialah demokrasi berjalan lancar dan kerajaan stabil dapat ditegakkan demi kesejahteraan rakyat dan negeri.
     
Kemungkinan Pulau Pinang mengadakan pilihan raya negeri mengejut tidak dapat dihalang jika Yang Dipertua Negeri berkenan.
     
Kerajaan Lim Guan Eng sedang menimbangkannya sebagai tindakan politiknya gara-gara dia didakwa di mahkamah atas sebab membeli kediaman yang disewanya dengan harga rendah. Jika dakwaan itu disabitkan dia boleh dihukum penjara atau apa juga hukuman yang menjadikan dia tidak layak lagi menjadi Ketua Menteri.
     
Orang boleh kata apa-apa saja atas tindakan DAP itu tetapi tidak boleh dinafikan akan hak politik perti kerajaan untuk mengambil tindakan itu.
    
Sarawak pernah mengadakan PRN awal setelah kerajaan pimpinan Taib Mahmud diancam undi tidak percaya di Dun oleh penyokong Tun Abdul Rahman Yaakub. Jika undi tidak percaya itu sempat dikemukakan, tiada jaminan Taib dapat mempertahan kerajaannya. Pedana Menteri Mahathir tidak menghalang PRN diadakan. Taib memenanginya semula.
     
Menteri Besar Daud Samad pernah mencadangkan Terengganu mengadakan PRN awal bagi menguji kerajaan PAS pimpinannya setelah beberapa Adun PAS melompat. Istana tidak memperkenannya.
      
Kerajaan Pakatan Rakyat Perak merancang mengadakan PRN setelah tiga Adunnya hilang tetapi istana memilih parti yang ada majoriti di Dun ketika itu untuk menubuh kerajaan baru.
      
Jika Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang tidak menghalang, PRN boleh diadakan. Tetapi PRN itu adalah bagi menunjukkan Ketua Menteri dan kerajaan negeri dipercayai masih mendapat sokongan besar rakyat.

Tiada dalam bacaan politik semasa DAP boleh dikalahkan, bahkan Guan Eng yang didakwa itu jika dibenarkan bertanding tidak mustahil menjadi calon yang paling popular.
     
Tetapi keputusan PRN itu tidak mungkin mempengaruhi mahkamah meneruskan tindakan yang sudah diambil terhadap Guan Eng. Tidak nampak Peguam Negara akan membatalkan dakwaan yanag sudah disebut di mahkamah. Malah kemungkinan ia diselesaikan di luar mahkamah juga payah diduga.
     
Apakah mahkamah dilihat tidak popular dengan tindakan terhadap Guan Eng itu tidak menghalang ia untuk meneruskan perbicaraan.
     
Bukan perkara baru bagi Jabatan Kejaksaan menangani perbicaraan yang tidak popular. Dalam tahun 70-an mahkamah dilihat tidak popular menangani kes Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda Umno Malaysia. Umum menolak keputusan mahkamah, tetapi tindakan politik tidak menghalang mahkamah menghukum pemimpin Umno itu.
      
Demikian juga dengan kes DS Anwar Ibrahim. Bukan masyarakat dalam negeri saja tidak menyokong kes itu diteruskan. Masyarakat antarabangsa juga mengira dia tidak patut dimahkamahkan.
     
Bahkan dunia tidak mengira Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan beberapa hakim wajar ditribunal. Banyak mengira ia kes politik. Tetapi jabatan kehakiman tidak mengira persepsi boleh mempengaruhinya meneruskan kerjanya.
     
Kita boleh menyaksikan Pulau Pinang ada PRN, kita lihat DAP dapat sokongan besar dalam PRN, tetapi kita juga mungkin dapat melihat Ketua Menteri itu turun naik mahkamah selepas PRN itu. – HARAKAHDAILY 4/8/2016

Share on Myspace