Yang menikam terlepas dua saksi tergantung

SUBKY LATIF | .

ADUAN polis yang dibuat oleh seorang besar Pemuda Umno terhadap tiga pembesar kerajaan yang dicadangkan menganggotai badan penyiasat skandal 1MDB boleh diibaratkan seperti kiasan/peri bahasa yang menikam terlepas, dua saksi tergantung.
     
Dari mana asbabul nuzul kiasan itu dicipta tidak dipastikan tetapi ia memberi maksud betapa mahkamah membebaskan penjenayah manakala saksi pula yang terhukum.
    
Aduan yang Pemuda Umno buat itu seperti mengulangi maksud kiasan itu. Pemuda Umno yang membuat aduan polis itu Khairul Azwan Harun. Yang diadunya ialah Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara yang ditamatkan perkhidmatan serta merta, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang baru bersara dan Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM yang minta bersara awal.
    
Dakwaannya ialah mereka itu dikatakan terlibat hendak menggulingkan PM Najib bersabit dengan pendedahan Jabatan Kejaksaan Amerika tentang jenayah yang disyaki berlaku pada 1MDB.
    
Apa yang berlaku pada 1MDB menjadi pengetahuan orang ramai dalam dan luar negeri. Apabila kes itu terbongkar, maka kerajaan bersetuju membentuk badan penyiasat diketuai oleh Peguam Negara TS Gani Patail dan anggota lain ialah TS Abu Kassim, TS Zeti dan KPN TS Khalid Abu Bakar.
    
Apa jadi pada badan penyiasat yang dicadangkan kerajaan itu hanya Tuhan yang tahu. Ketika sama Jawatankuasa Kira-Kira Negara dan Juru Audit Negara disuruh juga menyiasat. Agensi itu pun buat apa yang disuruh; seperti bekerja di laut yang bergelora. Laporan pun disiapkan juga, tetapi orang mengira isinya seperti buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.
     
Tiba-tiba nyonya yang menjadi Peguam Negara Amerika ditemani oleh FBI, Penguasa Hasil Dalam Negeri dan seorang penting lagi dari Jabatan Kejaksaan mendedahkan tentang kecurian dalam 1MDB yang dihebohkan itu dan penggubahan wang haram, bukan saja orang yang dinamakan terlibat dalam kes itu melanggar peraturan di Malaysia bahkan melanggar undang-undang Amerika.
     
Mereka diburu Amerika untuk diadili dan termasuk yang didedahkan itu seorang Pegawai Nombor Satu Malaysia.
     
Nama PM Najib memang digembar-gembur yang boleh dikira dalang skandal itu. Pendedahan Amerika itu menyeronokkan orang-orang yang mahu Najib berundur. Habis cicak dan mengkarung memberi reaksi negatif kepada Amerika.
    
Sekonyong-konyong budak Umno itu membuat aduan polis mendakwa orang-orang disebut tadi berperanan atau cuba menggulingkan PM Najib.
    
Apakah dia bertindak sendirian atau ia diputuskan oleh Pemuda Umno yang ketuanya Khairy Jamaluddin? Atau Khairul Azwan itu cuba mengulangi seorang pemuda yang mengata dia diliwat oleh DS Anwar Ibrahim. Kes Awar itupun macam kiasan buluh kasap juga.
    
Pemuda Umno dipercayai dikawal rapi oleh Khairy. Hebatnya Khairy, dipercayai Najib unuk menjadi pengiring Obama dalam lawatannya ke sini dulu. Ramai menteri yang pintar tetapi Najib hantar Khairy. Bagaimana orang sepintar Khairy boleh benarkan budak-budaknya membuat aduan polis.
    
Dakwaan budak Umno bukan main-main. Hukum percubaan menggulingkan kerajaan atau ketua kerajaan besar natijah dan risikonya. Perhatikan saja percubaan rampasan kuasa yang gagal di Turki baru-baru ini. Erdogan hendak menghidupkan semula hukum mati dan Turki menuntut orang yang disyaki dalang rampasan kuasa itu dipulangkan dari Amerika ke Turki.
    
Apa yang dibuat itu seperti mengkiaskan tiada jenayah dalam 1MDB dan orang-orang yang disyaki jenayah hendak dilepaskan dan sebaliknya orang-orang dinamakan bagi menganggotai badan penyiasat 1MDB hendak dijadikan saksi yang digantung. Ia bukan lagi dua tetapi tiga saksi tergantung. – HARAKAHDAILY 7/8/2016

Share on Myspace