Apa kejayaan Pemuda Umno?

SUBKY LATIF | .

SEORANG kuat Pemuda Umno yang terlalu kuat Umnonya mengaku berjaya dapat mendedahkan tiga Tan Sri dikatakan bersubahat hendak menggulingkan Perdana Menteri Najib.
     
Apakah budak Khairul Azwan Harun itu seronok dan berjaya sangat atas laporan polis yang Ketua Polis Negara ia andaian saja?
    
Setakat ini sekalian yang dirasakan siuman berpersepsi laporan polis itu palsu. Semuanya berpendapat polis wajar buat sesuatu kepada budak itu.
     
Apakah kejayaan budak itu sebenarnya?
     
Dia mendabik dada dalam sidang medianya Laporan polis kami satu kejayaan. Kejayaan apa?
     
Setakat ini laporannya itu dikira satu andaian oleh KPN dan dianggap palsu oleh kebanyakan orang.
     
Ertinya budak itu karut. Karut ialah benda yang tidak wajar atau hal yang diada-adakan. Reaksi pertama KPN atas aduan itu ialah tidak bercadang menemui tiga Tan Sri itu tetapi hendak memanggil budak itu saja.
     
Andaian atas reaksi awal polis itu ialah polis tak percaya ketiga mereka macam yang diadukan. Ia merepek.
     
Entah gerangan apa, Perdana Menteri itu mencelah, usah panggil budak itu. Maka reaksi baru KPN, tak perlu panggil budak itu kerana ia andaian saja.
    
Lepas itu budak itu bagitahu sidang media, Laporan polis kami satu kejayaan.
    
Kejayaan kalau komplot itu ada tetapi tidak diketahui sesiapa, maka ia didedah budak itu. Dengan itu polis tahu dan bertindak. Tindakan itu seperti yang Presiden Erdogan buat terhadap percubaan rampas kuasa Turki itu. Maka semua Tan Sri itu patutnya sudah ditangkap. Tapi polis tidak berhajat cari mereka.
      
Jikapun ada kejayaannya ialah dia atau kami seperti didakwanya tidak jadi dipanggil polis, bukan kerana dia berjaya tetapi kerana campur tangan Perdana Menteri. Terlepas daripada panggilan polis, mungkin satu rahmat baginya.
     
Bila polis tidak jadi panggil maka terlepaslah dia daripada sebarang tindakan polis.
     
Kalau hendak dikira kejayaannya juga ialah dia telah meletakkan polis dan KPN dalam satu suasana keliru dan serba salah.
     
Polis mulanya spontan hendak menyiasatnya. Dipercayai ia reaksi yang profesional. Tiba-tiba PM Najib kata, usah panggil dia. Tidak pasti tindakan terbaru polis itu kerana serba salah oleh campur tangan Najib atau reaksi awal KPN itu terburu-buru.
     
Sesudah polis batal panggil dia, dia tempelak pula aduannya satu kejayaan.
     
Pendapat bebas seluruhnya mentakwil sikap polis. Reaksi awal KPN tidak siapa takwil. Mungkin PM saja takwil. Tetapi reaksi yang terkemudian KPN menyebabkan dipertikai oleh semua. Beranggap macam-macam orang kepada polis.
     
Kebijaksanaan dan profesional polis dipersoal. Lumat nama dan imej polis dibaca orang.
     
Maka kalau hendak dikira budak Umno ada kejayaan ialah berjaya menjadi polis dan KPN ditakwil semua gara-gara merepek budak Umno itu.
      
Jika budak Umno boleh tempelak tiga Tan Sri, maka ia mencerminkan itu sikap Umno terhadap pegawai awam umumnya memberi kesetiaan dan dedikasi dalam perkhidmatan. Khidmat baik pegawai boleh dikira hampas oleh budak Umno. – HARAKAHDAILY 9/8/2016

Share on Myspace