Tangguh PRN, keputusan Guan Eng tepat

SUBKY LATIF | .

LIM Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang telah menamatkan perbincangan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang dengan menangguhkannya.
     
Tindakan Guan Eng itu menjadikan ramalan Datuk Mustapa Ali, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat tepat. Sejak mula cadangan timbul, Mustapa telah meramalkan DAP tidak akan mengadakan PRN segera.
     
Guan Eng punya hujah politik yang kuat untuk memanggil PRN segera. Bagi mendapatkan mandat baru bagi menunjukkan kekuatan kepada kerajaan BN bahwa DAP dan sekutunya dapat sokongan kuat daripada  rakyat. Ia sebagai sesuatu unjuk rasa terhadap kerajaan BN mendakwanya rasuah.
     
Politik baru mungkin menjamin sokongan kuat rakyat kepada DAP tetapi ia tidak menjamin kerajaan Pulau Pinang dapat dipertahankan, kerana ketiadaan PAS dalam sekutu, pengundi Melayu akan lari. Ia menyebabkan calon PKR dan calon Melayu bukan BN tidak cukup undi untuk menang semula.

Mungkin Guan Eng kurang majoriti untuk membentuk kerajaan.
     
Sekalipun Guan Eng dapat membentuk kerajaan semula tetapi ia tidak mempengaruh mahkamah untuk memihak kepada Guan Eng dalam kes yang dihadapinya.
     
Perbicaraan itu berisiko tinggi untuk Guan Eng. Kita boleh kata macam-macam terhadap pendakwaan itu. Ia boleh dikaitkan bermotif politik, ia boleh dikira konspirasi politik dan lain-lain.
     
Mekanisma keadilan tidak ada di tangan golongan prodemokrasi. Maka persiapan yang boleh difikirkan oleh DAP menyediakan calon Ketua Menteri yang lain. Kita mesti andaikan risiko Guan Eng tidak berjaya dalam perbicaraan lebih besar. Jika ini berlaku DAP akan berdepan masalah pula kira calon Ketua Menteri lain tidak disediakan.
    
Calon baru itu mesti diterima oleh semua. Seperti yang pernah saya cadangkan, calon terbaik ialah Lim Kiat Siang sendiri.
     
Apakah dengan membawa Kit Siang ke Pulau Pinang dalam politik PAS bersendiri ini, dapat menjamin penguasaan DAP? Ini pun satu isu menarik.
    
Tetapi masa masih ada bagi properubahan mewujudkan suasana politik yang lebih baru bagi mengatasi kebuntuan politik baharu yang ada sekarang. Kebuntuan kerana PAS berada diluar dan ia bebas bertanding di mana-mana.
     
Kit Siang pernah kata, PAS adalah pengacau politik. Tohmah demikian tidak dapat mengubah Pakatan kembali stabil. Politik pasca Pakatan sukar berubah hinggalah PRU baru.
     
Tetapi ia bukan tidak boleh diubah. DAP dan Pakatan boleh mengubahnya. Caranya ialah DAP boleh berunding semula dengan PAS, sedia menyokong RUU 355 bagi pindaan memperkarakan mahkamah syariah.
     
Jika DAP dapat mengubah sikapnya terhadap hudud, betapa ia untuk Islam saja, maka tahaluf baru boleh difikirkan semua. Jika kemungkinan itu dilihat dapat memperkukuh harmoni kaum, pengundi Cina tidak akan takut kepada PAS dan Islam.
     
Keadaan sekarang undi Melayu untuk DAP amat merosot. DAP Tidak boleh bergantung pada sokongan bukan Islam saja. Ia perlu undi orang Islam yang tunjangnya tidak ada pada lain melainkan dari PAS. – HARAKAHDAILY 13/8/2016

Share on Myspace