Apa yang naikkan Turki semula?

SUBKY LATIF | .

DALAM masa 11 tahun Presiden Erdogan berkuasa, Turki muncul sebagai kuasa ekonomi terpenting di dunia. Sebelumnya kedudukannya dalam ekonomi dunia di tangga 111. Kini di tangga 16. Kadar pengangguran turun daripada 38 peratus kepada dua peratus sekarang.
     
Kini ia jadi kuasa ekonomi ketiga Eropah selepas Jerman dan Britain. Sasarannya selepas tahun 2023 menjadi ketiga di dunia selepas China dan Amerika. Pencapaian ekonomi domestiknya menyamai gabungan Arab Saudi, Emiryah Arab Bersatu, Iran dan Jordan/Lubnan.
     
Pendapatan perkapita rakyat ialah USD3,500 tahun 2013 kepada USD11,000 sekarang, lebih tinggi berbanding perkapita Perancis.
      
Sebelum Erdogan, ia sarang maksiat lebih teruk daripada Jerman dan Perancis dan Eropah seluruhnya. Kini rakyat tidak gerun dan tidak malu lagi bercakap tentang Islam.
     
Dunia barat melihat Turki hendak berpengaruh semula di dunia setelah kejatuhan empayar Uthamaniyah tahun 1924. Jika tidak disekat memang ia naik semula.
     
Apa yang menjadikan Turki melonjak semula?
     
Pengamatan saya, ia sudah mengeluarkan puluhan ribu hafazan al-Quran sejak tahun 60-an dan kedua ia adalah bangsa yang bersih.
    
Sebelum tahun 90-an saya dimaklumkan ia lahirkan 5,000 hafiz/hafizah setahun. Istanbul saja 2,000 setahun. Tahun 1990 saya melawat sebuah Kuran Kursu puteri di Istanbul. Ia mengambil seribu pelajar setahun bagi program dua tahun. Sejak diasaskan, sekitar 70 peratus berjaya. Ini bererti ia mengeluarkan 700 hafizah setahun. Ada beribu madrasah tahfiz di seluruh Turki.
      
Dengan dasar proIslam Erdogan, dipercaya keluaran hafiz/hafizah baru tentulah berganda.
      
Apabila masyarakat itu dilimpahi ribuan hafaz Quran tentulah bumi dan masyarakat itu dicucuri rahmat yang sebanyak-banyak oleh Allah.
     
Umat Islam Turki adalah pembersih. Payah jumpa bilik air masjid dan sekolah yang kotor dan berbau. Ada orang menjaga dan memastikan bilik dicuci dan bersih sepanjang masa. Kita payah dapat ruang dan bangunan kotor dan berhabuk.
     
Kita banyak mendengar sungutan semua orang tentang bilik air masjid di negara kita yang tidak urus dan kotor. Islam adalah agama bersih. Banyak negara bilik air masjidnya tak terdaya diguna bagi melepaskan hajat.
     
Saya pernah tinggal berbelas hari di rumah seorang Turki. Kebersihan rumah ia adalah kelas dunia. Macam hotel lima bintang di kota besar dunia. Semasa berbual-bual dengan tuan rumah, dia sentiasa membasuh dan mengelap mangkuk sinki. Dia tidak mahu lihat meja, peti ais, kabinet dapur tidak berkilat.
    
Itu laki-lakinya. Perempuannya tentulah lebih. Kebanyakan rumah mereka berkilat semua.
     
Pernah orang Turki bertamu di tempat saya. Dia bersungut tentang debu-debu di sekitar. Saya bawa mereka ke dewan yang berhampiran. Dia bersungut, ‘Dirty! Dirty!
     
Rombongan dari Turki saya tumpangkan di rumah banglo Haji Aziz Sihu. Dia ada beberapa rumah untuk tetamu. Rumah itu berjaga. Dan bersih.
     
Petang itu saya lihat dia membasuh dan membersihkan ruang parkir kereta dan kawasan sekitar. Katanya, ‘Dirty!’
     
Pada saya ia bersih. Bagi Turki, ia masih tidak memuaskan.
     
Amalan bersih itu tentunya dilimpahi rahmat.
     
Bagi menjadi umat yang berjaya pedulilah tentang kebersihan. – HARAKAHDAILY 17/8/2016

Share on Myspace