Umno dan kisah raja berbaju baharu

SUBKY LATIF | .

KETIKA Umno sedang berhadapan dengan ujian Dr. Mahathir dan TS Muhyidin Yassin untuk menubuhkan parti baru bagi menggantikan Umno, sekalian pemimpin Umno – di peringkat tinggi, pemimpin menengah dan pemimpin kecil di kampung-kampung – semuanya memperleceh dan memperkecil bekas pemipin Umno itu.
     
Bukan saja mereka sangsi harapan masa depan parti baru itu, malah mereka meremahkan tujuan parti itu hendak diadakan. Langsung tidak ada justifikasi parti itu hendak ditubuh.
     
Ia dikatakan justeru kekecewaan, hendak merebut kuasa dengan menggulingkan pimpinan yang ada, demi kepentingan diri dan berniat buruk. Motif perjuangan dan membela negara dan rakyat tidak diberi perhatian langsung.
     
Tentangan mereka semata-mata mempertahankan PM Najib sebagai pimpinan semasa tidak kira dia berguna atau tidak.
      
Hanya Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berpandangan lebih jauh dan ada beza dengan yang lain. Dia tidak memandang remeh usaha itu kerana ia dilagang oleh nama-nama besar dan mempunyai matlamat tertentu. Meremeh dan memperlecehnya adalah tindakan bongkak dan bongkak suatu yang tidak wajar bagi orang Umno.
     
Khairy menolak usaha Mahathir dan Muhyidin itu selagi dia merasakan Umno dan pemimpin Najib masih pada jalan yang betul dia mempertahankan Najib. Logiknya jika Najib dan Umno melakukan keburukan dan mengancam parti, maka ia tidak dapat dipertahankan.
     
Apa yang Khairy cuba bagitahu ialah Najib tidak seperti yang Mahathir dan Muhyidin persepsikan, maka orang Umno tidak wajar menyokong parti baru itu. Bukan parti baru itu tiada perjuangan dan matlamat untuk rakyat dan negara, tetapi pimpinan Najib masih relevan dan diperlukan oleh Umno.
    
Ertinya tidaklah dia membuta tuli mempertahankan Najib seperti orang lain. Orang lain itu baik setinggi manapun kedudukannya dalam parti mempertahankan Najib kerana dia adalah Presiden dan Perdana Menteri tanpa peduli dia relevan atau tidak.
      
Mempertahankan Presiden dan Perdana Menteri tanpa peduli dia relevan atau tidak ada tindakan politik buta tuli.
     
Jika Khairy bersama dengan lain-lain pemimpin Umno bersama Najib dan menolak kewujudan parti baharu bukan atas alasan dan sikap yang sama. Yang sama dia dengan semua ialah pimpinan Najib mesti dipertahankan. Padanya Najib bukan ancaman pada Umno dan negara dan bagi yang lain Najib mesti disokong kerana dia Presiden dan Perdana Menteri.
     
Khairy boleh dikira orang yang tidak nampak kelemahan Najib manakala yang lain tidak peduli dia lemah atau tidak tetapi dia adalah Presiden dan Perdana Menteri, maka dia tidak boleh ditakwil.
     
Dua-dua pemikiran ini seolah-olah Umno berada di tengah masyarakat yang didongengkan oleh orang barat dulu kala tentang Raja yang menempah pakaian baru yang istimewanya pakaian itu tidak dapat dipandang oleh orang bebal. Orang tak bebal saja yang nampak. Apabila ia siap dan dipakaikan pada Raja, sekalian memuji indahnya baju Raja.
     
Raja sendiri tidak nampak dan tidak terasa dia berpakaian. Tapi kerana takut dikatal bebal, dia rasa sedang memakai baju istimewa itu. Hanya seorang kanak-kanak tanya bapanya mengapa Raja tidak berpakaian? Ayahnya sama macam anaknya melihat Raja mendedah aurat. Orang lain pun terasa macam itu juga. Akhirnya sedarlah semua, baju baharu itu bukan tidak nampak tapi tidak ada.
     
Sudah sedunia orang soksek-soksek tentang PM Najib, tapi semua orang Umno tidak mengaku ada benda yang disoksek-soksekkan itu. – HARAKAHDAILY 19/8/2016

Share on Myspace