Nasib Erdogan macam Haris Nasution

SUBKY LATIF | .

APA yang menggagalkan percubaan rampasan kuasa tentera di Turki 15 Julai lalu? Diakui oleh semua ialah pengkhianat gagal membunuh Presiden Tayyib Erdogan sebagai yang mereka rancangkan.
      
Hatta perisik Amerika sendiri mengakui hakikat ini.
     
Nasib Erdogan dan nasib Turki samalah dengan nasib Indonesia dan menteri pertahanannya Jeneral Abdul Haris Nasution dan percubaan rampasan kuasa komunis tahun 1965 dulu.
    
Erdogan yang bercuti rehat di Marmaris terselamat daripada percubaan membunuhnya, diterbangkan tentera yang setia kepadanya ke Istanbul, lalu dia mengerahkan rakyat di seluruh negara keluar menghalang kereta kebal penderhaka.
      
Rampas kuasa komunis di Indonesia yang di belakangnya adalah Presiden Sukarno sendiri merancang pembunuhan para panglima kanan tentera termasuk Jeneral Haris Nasution. Rampasan kuasa itu bukan mahu menggulingkan Presiden Sukarno, tetapi adalah bagi mengambil alih pengaruh tentera yang komunis menguasai politik negara itu.
      
Dalam rampasan kuasa pimpinan oleh Kolonel Untung berjaya membunuh lapan Panglima Kanan yang paling berkuasa di samping Sukarno. Apabila mayat yang dikumpulkan di kawasan yang dinamakan Lubang Buaya, mendapati tiada Nasution di antara mayat itu, maka Sukarno dikatakan kepada pemimpin rampasan kuasa itu, ‘Kita kalah.’
     
Kediaman Nasution telah diserbu dan dibedil. Anak perempuannya terkorban. Nasution sempat melompat ke rumah jiran sebelah. Tidak disedari oleh penyerbu. Kakinya cedera. Dari situ dia dikejarkan ke markas tentera, memerintahkan Jeneral Suharto yang juga terselamat daripada pembunuhan mematahkan rampasan kuasa itu.
     
Tentera yang setia berjaya mematahkan komunis yang berkumpul bersama Sukarno di markas tentera udara pimpinan Umar Dani. Umar Dani penyokong komunis adalah menteri yang berkuasa atas tentera udara. Rampasan kuasa itu gagal dalam beberapa hari saja. Komunis Indonesia yang ketiga terkuat di dunia selepas Soviet Union dan China hapus dari bumi Indonesia.
      
Dalang asing dalam rampasan kuasa Indonesia iatu adalah China. Peranan Soviet Rusia tidak jelas. Manakala dalang asing dalam rampasan di Turki pula negara-negara anggota Nato yang Turki juga adalah anggotanya. Ketuanya tidak lain daripada Amerika.
      
Amerika dan Eropah menyokong tentera Indonesia mematahkan rampasan kuasa komunis dan mempertahankan kerajaan Indonesia, tetapi dalam percubaan rampasan kuasa di Turki negara barat memihak kepada tentera pemberontak menjatuhkan kerajaan demokrasi yang sah.
      
Jika Erdogan berjaya dibunuh atau ditahan oleh tentera, belum tentu kerajaan Turki dapat diselamatkan. Demikian juga diandaikan kiranya Jeneral Haris Nasution antara penglima yang terbunuh, maka Indonesia dipercayai jatuh ke tangan komunis.
     
Perisik yang sedia kepada Erdogan sempat mengesan pakatan pengkhianatan lebih awal dan telah menasihatkan Erdogan meninggalkan tempat percutiannya segera sebelum pasukan menggempurnya tiba. Erdogan bergegas meninggalkan tempat itu mengirim arahan melalui video media sosial, mengarahkan rakyat di seluruh negara keluar beramai-ramai menyekat semua kereta kebal tentera perampasan kuasa.
     
Pengaruh seruan Erdogan begitu besar dan berkesan. Orang ramai berduyun-duyun memenuh jalan raya di semua bandar hingga pengkhianat tenggelam di tengah lautan manusia yang setia kepada kerajaan. Semua masjid melaungkan azan di luar waktu fardu sepanjang malam.
     
Rampasan kuasa dirancang dini hari sewaktu seorang tidur, kerana Erdogan mengerahkan orang keluar semasa orang belum tidur, rampasan kuasa itu dicepatkan sebelum orang tidur. Justeru mereka masih jaga, mereka turun ke jalan-jalan. Kekebalan tentera selama 90 tahun ranap dalam masa lima jam. Kerajaan yang sah dapat diselamatkan. – HARAKAHDAILY 24/8/2016

Share on Myspace