Mengapa mat salih pesan ketum?

SUBKY LATIF | .

SAH sekarang ketum jadi tanaman yang dilarang. Sudah diputuskan oleh kerajaan. Larangan itu pada fekah dunianya, tidak sekadar makruh bahkan haram.
      
Tetapi jika kesan keburukannya menyamai dadah dan candu, mengapa pula Amerika dan negara-negara Eropah yang tidak melarang penggunaannya memesan daun ketum atau produk yang dihasilkan daripada ketum itu?
       
Amerika adalah negara yang tegas melarang dadah. Ia pernah menyerbu sebuah negara Latin Amerika menangkap presidennya yang menghalal pengedaran dadah termasuk ke Amerika. Ia marah sangat pada Presiden Sudan tetapi ia tidak langgar Sudan bagi menangkap presidennya. Tapi ia ceroboh negara Amerika Selatan dan tangkap presidennya.
      
Mungkin ada keburukan ketum tapi agaknya Amerika dan Eropah menyamakannya dengan tembakau, sekalipun buruknya ada tetapi rokok dan cerut diharuskan.
     
Saya tertarik dengan pandangan seorang profesor, pensyarah berPhd dari Universiti Putra Malaysia yang banyak dan masih menjalankan penyelidikan ketum. Dia menghormati keputusan kerajaan melarang memajukan tanaman ketum, tetapi justeru ada permintaan dari Amerika dan Eropah, lalu dicadangkannya supaya dipaten ketum.
      
Apabila ia dipaten sebelum negara Mat Saleh mematennya, maka kita memilik hak memasarkan produknya atau eksport daunnya.

Jika ia dipaten Amerika dan Eropah jika ketum dibolehkan nanti dieksport kemudian, maka ia akan menjual balik produknya kepada kita dengan harga yang mahal. Jangan berulang kita bekal air mentah ke Singapura, Singapura pula menjual semua air yag dirawat kepada kita dengan harga juah lebih mahal.
      
Kajian pakar mendapati zat ketum itu boleh dijadikan bahan ubat bagi beberapa penyakit seperti sakit belakang, tahan sakit, mencairkan ketagih dadah, menambah tenaga bagi ibu bersalin dan membantu menyegarkan tenaga terutama bagi pekerja lasak.
       
Jika ia tidak boleh mendatangkan pulangan yang baik masakan negara-negara Nato itu memesannya dengan harga yang menarik. RISDA berminat sangat bagi memperdagang tanaman itu kerana tawaran harganya baik,  boleh mendatangkan pendapatan menggalakkan kepada pekebun kecil.
     
Pekebun kecil selalu papa kerana getah tidak sentiasa dikehendaki dan harganya terlalu rendah. Bahkan sawit juga harganya tidak menentu sedang pelaburan atasnya tinggi.

Ketum tidak memerlu modal besar, tidak cerewet menjaga dan menyuburkan. Mungkin sama dengan lalang boleh tumbuh di mana-mana tanpa baja dan tidak perlu disiram sangat. Rakyat Malaysia akan jadi bertuah jika lalang boleh dikomersil.
      
Kata Risda, harga yang ditawarkan baik. Jika ia jadi usaha monopoli Risda, ia memberi izin menanam kepada orang berdaftar kepadanya saja, hak membeli baginya saja, harga yang dikenakan tidak mungkin ditandingi oleh mana-mana pemborong, memastikan ia tidak jual dalam pasaran gelap.

Dengan segala kawalan sistem polis dan SPRMnya adalah tegas, maka ada cara ketum boleh mendatangkan kebaikan kepada pekebun.
     
Jika ketum itu tidak berguna seperti lalang saja tentu UPM tidak menggalakkan profesor menjalankan kajian atasnya. Setakat ini penemuan atas manfaat ketum itu sudah dikira positif, dan kajian akan diteruskan.
     
Jika ia dibiar saja, tidak ambil apa-apa manfaat atasnya sedang ia mengandungi rahsia yang berguna, jika lain-lain negara mengambil peluang memanfaatnya, Amerika dan Eropah mendapat bekalan darinya, maka malang jika ia kita dibazirkan.
      
Tidak ditolak ia ada burukya tetapi elok jangan terlalu tertutup hingga tidak mungkin fekah atas ketum itu diubah daripada haram kepada harus tanpa melonggarkan kawalannya. – HARAKAHDAILY 28/8/2016

Share on Myspace