Apa logik Persatuan Hokkien dikata menghasut?

SUBKY LATIF | .

JUSTERU demokrasi dan tidak mahu Malaysia ada dua sistem undang-undang, maka Persatuan Hokkien yang membantah pembentangan RUU 355 di Parlimen menganjurkan pungutan tanda tangan  sejuta orang.
      
Reaksi pro RUU 355 membuat aduan polis mengira ia satu hasutan. Reaksi Persatuan Hokkien atas reaksi pro RUU 355 itu mengapa pula ia didakwa melakukan hasutan?
     
Di mana logiknya?
    
Memang banyak yang terfikir akta hasutan yang dipinda selepas kejadian 13 Mei 1969 itu tiada logiknya. Banyak benda yang dibenarkan demokrasi yang sebelum boleh dicakap tidak boleh dicakap.
     
Sebelumnya banyak orang Melayu tentang tuntutan orang bukan Melayu atas isu bahasa, pelajaran, agama, kebudayaan dan lain-lain bagi diterima pakai di negara ini. Dan demikian juga bantahan orang bukan Melayu terhadap kemahuan orang Melayu kedaulatan agamanya dan mahukan kebudayaan nasional berteraskan kepada kebudayaan Melayu saja.
      
Maka Perdana Menterei Tun Razak yang dikatakan bijaksana, tidak mahu peristiwa 13 Mei berulang lalu membentangkan pindaan akta hasutan melarang semua orang menyinggung agama dan kebudayaan kaum lain yang dikira sensitif yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
     
Atas sebab demokrasi selepas akta itu diluluskan tahun 1970, Cikgu Osman dari Ampang menyentuh tentang kewujudan sekolah kaum lain. Ia disiarkan oleh Utusan Melayu. Ketua Pengarang Utusan Melayu ditahan dan didakwa. Ia jadi ujian dan kes pertama di bawah kesalahan akta itu.
    
Mahkamah mendapati Utusan bersalah. Penyunting Utusan yang menyiarkan berita itu, Abdul Samad Ahmad, ayah Datuk Iskandar Samad, eksko kerajaan Selangor sekarang telah didenda. Di bawah akta itu dia boleh dipenjara.
     
Marah semua orang Melayu terutama pejuang nasionalisnya. Hak kebebasan dan demokrasi mereka telah dirampas. Hingga hari ini pun ada yang mengatakan akta itu tidak berguna.
     
Tetapi itulah demokrasi. Tidak semua orang boleh dicakap boleh dicakap. Tak semua demokrasi benarkan boleh dibenarkan. Memberi komen tentang cakap dan kata seseorang tidak salah, memberi komen terhadap raja tidak dibenarkan oleh demokrasi kita.
     
Mencerca Islam oleh orang Islam boleh jadi murtad, jika sabit boleh dihukum bunuh. Orang Islam boleh komen tentang kelemahan pelaksanaan Islam, tetapi dia tidak boleh komen sebarangan  tentang agama lain justeru ia mudah ditafsirkan menghina agama itu. Orang bukan Islam tidak sesuai komen tentang Islam kerana ia boleh dikira campurtangan.
     
Apa salahnya campur tangan tetapi demokrasi yang macam itu tidak dikehendaki dalam masyarakat kita.
      
Persatuan Hokkien tidak fikir pungutan tanda tangan itu ia telah menghasut. Penyunting Utusan Melayu dulupun tak terfikir berita yang disiarkan itu kerana hendak menghasut dan telah menghasut. Tetapi Peguam Negara masa itu Tan Sri Abdul Kadir Yusuf telah mendakwanya dan mahkamah menghukumnya.
      
Wujud dua sistem undang-undang dikatakan tidak adil dan boleh menimbulkan macam-macam. Tapi tidak membenarkan Islam mengamalkan undang-undangnya adakah adil, dan apakah menghalangnya tidak menimbulkan macam-macam?
      
Islam itu adalah semua orang yang orang Melayu terima sebagai agama mereka. Ia jadi agama bagi semua raja-raja. Bila RUU itu dihalang ia adalah menghalang orang Islam mengamalkan antara ajaran agamanya dan ia secara tidak langsung menhalang raja-raja beramal dengan sebahagian daripada ajaran agamanya.
     
Antara isi akta hasutan ialah menyentuh hak raja-raja. Apabila antara ajaran agama raja-raja itu dihalang tidakkah ia menyentuh hak raja-raja dengan agamanya? Jangan jadi orang yang tidak mahu beragama! – HARAKAHDAILY 1/9/2016

Share on Myspace