Syukur separuh masak, merdeka separuh masak

SUBKY LATIF | .

ADA yang tawar dengan kemerdekaan negara sejak merdeka dan ada yang tawar selepas merdeka sekian lama.
      
Bagi yang terasa semangat wira dan keperwiraan tinggi rasa kecewa terhadap yang tawar dengan semangat kemerdekaan justeru kurang peduli dengan sambutan kemerdekaan ke-59 sekarang.
    
Sepatutnya semua bersyukurnya terutama bagi orang Islam kerana kemederdekaan itu adalah sebahagiaan daripada sifat orang Islam. Yang tidak peduli dengannya boleh dikira tidak bersyukur seperti tidak bersyukurnya Bani Israil yang dimerdekakan oleh Nabi Musa daripada penindasan Firaun.
      
Tetapi yang tidak peduli justeru tawar dengan kemerdekaan itu sejak mula gara-gara kemerdekaan itu separuh masak. Dr. Burhanyddin al-Helmy dalam mesejnya kepada PAS tentang kemerdekaan, tidaklah dinamakan merdeka bagi satu kemerdekaan itu selagi tidak terlaksana hukum dan peraturan Islam. Lalu kemerdekaan yang dianugerah itu adalah separuh masak.
     
Orang Islam sudah merdeka sejak lahir. Ibu bapanya dan pemerintahannya menyebabkan mereka  tidak merdeka. Maka tuntutan kemerdekaan bagi mereka adalah kemerdekaan penuh seperti Dr. Burhanuddin saran. Kemerdekaan penuh itu seperti yang Nabi Musa dapatkan bagi Bani Israil dan seperti yang Rasulullah SAW capai selepas hijrah ke Madinah dan pembebasan Fathul Makkah.
     
Kemerdekaan itu membebaskan umat daripada menyengutukan Allah dan penindasan sesama makhluk. Di bawah Nabi Musa, Bani Israil merdeka daripada perhambaan Firaun dan bangsa Qibti. Mereka bebas mengamalkan agama tauhid yang disempurnakan oleh Nabi Ibrahim.

Di bawah Nabi Muhammad SAW manusia bebas daripada belenggu jahiliyah dan Makkah dipulangkan semula kepada penganut agama tauhid.
     
Kemerdekaan yang dicapai di bawah Nabi Musa adalah kemerdekaan penuh dan matang. Tidak separuh masak. Wajib Bani Israil bersyukur dengan nikmat itu. Memang tidak bersyukur Bani Israil yang tidak dapat menilai kebebasan yang mereka peroleh.
      
Maka kemerdekaan yang diperoleh Malaysia tidak seperti hakikat kemerdekaan pimpinan Nabi Musa dan Rasulullah SAW. Bukan sekadar mereka tidak dapat seperti kemerdekaan yang disarankan Islam, bahkan mereka tidak dapat semula apa yang ada sebelum kemerdekaan itu dirampas oleh penjajah.
     
Kemerdekaan itu sekadar bertukar dari tuan penjajah Inggerisnya kepada satu generasi anak jajahan didikan tuannya yang fikiran, kebudayaan, kepecayaannya persis tuan penjajahnya. Bukan kemerdekaan yang dibawa Nabi Musa untuk umatnya dan bukan seperti yang Rasulullah SAW wariskan kepada umatnya.
     
Macam mana umat hendak bersyukur dengan kemerdekaan yang tidak sempurna. Bagaimana hendak bersyukur sepenuh atas suatu yang separuh masak? Bukan yang penuh itu tidak boleh dicapai, tetapi tidak diberi oleh yang memberi dan tidak dikehendaki oleh yang menerima. Nabi boleh jadi Raja Arab jika terima kemerdekaan separuh masak. Baginda terpaksa hijrah sebelum dapat kemerdekaan penuh.
          
Gara-gara dapat yang separuh masak itu sudah 59 tahun, kemerdekaan penuh tidak datang dan bila ia akan datang? Mendapatkan kemerdekaan baru adalah lebih susah dari yang sengaja dilepaskan.

Apabila ramai sedap dengan yang separuh masak, maka orang lupa dengan kemerdekaan penuh yang sepatut dituntut dan disyukuri.
      
Jikapun ada yang bersyukur ia adalah syukur separuh masak bagi mereka merdeka yang separuh masak. Bagaimana yang tawar dapat bersyukur atas pengabaian kemerdekaan hakiki? Yang ghairah dulu tapi tawar juga sekarang adalah natijah separuh masak itu.
     
Jangan disamakan yang tawar hati itu dengan tak bersyukur Bani Israil. Mereka dapat yang sempurna, kita sabar atas yang masam. – HARAKAHDAILY 8/9/2016

Share on Myspace