Menolak penyelesaian agama, menjarak dari Tuhan

SUBKY LATIF | .

ISLAM sebagai agama yang diterima di sisi Allah, tidak sekadar anutan diturunkan Allah melalui Nabi-Nabi-Nya adalah sebagai penyelesaian kepada penganutnya dan kepada umum.
     
Demikian juga lain-lain agama disertakan dengan kitab-kitab sucinya adalah panduan penyelesaian kepada penganutnya.
     
Agama sekalipun tidak sama dengan yang lain, adalah panduan dan kaedah penyelesaian paling awal bagi agama yang wujud. Adapun pendekatan lain baik politik, budaya, adat dan apa jua adalah hal yang datang kemudian.
     
Maka tidak tepat bagi Persatuan Hokkien dan orang yang sealiran politik dengannya berdalih konon pendekatan agama bagi menyelesaian politik, jenayah dan lain-lain akan mengacau-bilau masalah. Mana mungkin agama menjadi pengacau sedang maksud agama itu yang diambil daripada bahasa Sanskrit, satu bahasa tertua yang diakui dunia adalah gabung daripada dua kalimah a dan gama. A bererti tidak, gama bererti kacau.
     
Agama jadi satu kalimah bagi bahasa Melayu membawa maksud tidak kacau. Maka konsep agama adalah tidak kacau. Yang di luar agama lebih terdedah kepada kacau.
      
Saya tidak mahu menyentuh agama lain. Islam sebagai agama yang dibawa oleh setiap Rasul dan Nabi baik nama mereka tercatit dalam Taurat dan Injil selain daripada al-Quran adalah ajaran yang sempurna sesuai bagi semua manusia, baik pencerahannya dipandu oleh Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW.
     
Apabila Islam memperuntukkan hudud dan memperkasakan Mahkamah syariah atau apa jua adalah mahu menggunakan pakai peruntukan agama bagi menyelesaikan masalah. Arab yang berpecah dalam banyak kabilah sebelum Islam bertembung antara satu sama lain. Yahudi, Nasrani dan penyembah berhala di Madinah dapat menyelesaikan masalah dengan pembentukan pentadbiran Islam.
      
Apapun konsep agama adalah menerima ketuhanan. Semua tamadun mengira konsep bertuhan sama ada ia Esa atau berbilang tuhan ia lebih baik daripada tidak bertuhan. Yang tidak bertuhan itu adalah lebih kacau daripada yang bertuhan.
     
Banyak raja-raja menolak agama dan tuhan, tetapi mereka menjadikan dirinya tuhan dan rakyat beragama kepadanya. Merekalah yang menolak pendekatan agama tetapi menjadikan kemahuannya sebagai agama rakyatnya.
     
Adapun yang mengira agama membawa masalah dan kekacauan, maka jauhi pendekatan agama, adalah langkah awal untuk menjarakkan diri dengan agama. Akhirnya menolak agama.
     
Inilah yang terjadi di barat beberapa kurun lalu, menamakan diri ateis, fahaman tidak bertuhan. Inilah yang melahirkan Karl Mark dan lain-lain pencetus komunis. Hingga mereka menyerang agama sebagai candu. Ia jadi pegangan komunis tegar.
      
Lenin dan Mao Zedung menolak agama dan tuhan, tetapi mereka menjadikan komunis sebagai agama dan mereka jadi tuhannya.
      
Kekacauan yang berlaku di dunia komunis lebih parah daripada masyarakat yang bertuhan. Akhirnya empayar komunis runtuh termasuk sarang-sarangnya. Orang yang ditinggal komunis kembali mencari agama semula.
     
Yang menolak pendekatan agama dan bertuhan termasuk orang Islam sendiri dan masih solat. Tetapi pembawaannya adalah mengikut orang menolak kaedah bertuhan. Mula-mula fahaman tidak bertuhan itu adalah mengelak penyelesaian yang ada pada agama. Akhirnya dia tidak bertuhan.
      
Berpuak-puak bukan untuk berbalah, tapi bagi kenal mengenal dengan yang lain, moga-moga bertemu dengan yang betul di sisi Allah. Menolak pendekatan agama adalah ABC kepada tidak bertuhan yang kesudahannya mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Ia bukan mengurangkan masalah, bahkan mengacau-bilaukan semua. – HARAKAHDAILY 16/9/2016

Share on Myspace