RUU 355 sepenting tanding dua penjuru

SUBKY LATIF | .

SEMUA pembangkang dan pengundi yang mahu menukar pentadbiran Putrajaya setuju pertandingan dua penjuru dalam PRU14 adalah diperlukan.
      
Sekalipun PAS terkeluar daripada pakatan utama pembangkang, ia juga menerima hakikat dan logik pertandingan dua penjuru antara BN dan pembangkang di semua kerusi. Ia adalah kaedah terbaik yang orang nampak setakat ini.
      
Tetapi PAS juga mengira meluluskan RUU 355 yang dibentangkan oleh Presidennya, Tan Guru Haji Abdul Awang dari Marang adalah sama penting dengan menggantikan BN di Putrajaya atau menggantikan Perdana Menteri Najib demi keselamatan negara.
      
TS Muhyiddin Yassin dan Dr. Mahathir memulakan kempen menggantikan Najib jika boleh sekarang juga, tetapi paling lewat ialah dalam PRU14 nanti. Padanya ia adalah demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
     
Demi matlamat itu semua pembangkang mesti bersatu dan jangan ada pertandingan lebih dari dua penjuru. Maka misi bekas pemimpin Umno itu ialah untuk membawa sama PAS dalam muafakat itu.
     
Bukan PAS tidak nampak logik itu, bahkan PAS pernah ada pengalaman bersatu dalam pakatan pembangkang yang besar dan pernah menyaksi dan mengalami faedah politik daripadanya. Bahkan teori itu hampir menumbangkan BN dalam PRU13 dulu dan ia berjaya mengalahkan BN dalam undi popular.
      
Tetapi menyelamatkan negara bukan dengan menggantikan Najib saja, bahkan RUU 355 juga dilihat penting bagi menyelamatkan negara. Sekalipun RUU 355 satu pindaan yang tidak menggugat perlembagaan dan tidak mengganggu kepentingan dan hak orang bukan Islam, tetapi ialah langkah-langkah awal ke arah menyelamatkan rakyat terutama orang Islam sebagai salah satu daripada rukun sejahteranya.
      
Pada PAS pindaan itu demi memperkasa mahkamah syariah. Sama ada ia kecil atau ia besar RUU itu adalah membawa roh Islam. Roh Islam sekecil mana pun tidak boleh dicabar oleh orang Islam. Mencabar yang sekecil zarah sekalipun adalah mencabar kesucian Islam pada keseluruhannya.
      
Dan Islam itu sendiri adalah agama sejahtera. Ia adalah ubat dan penawar segala masalah dan ancaman. Ia adalah wadah membasmi rasuah dan segala macam penyelewengan. Tiada ibu pencegah rasuah dan pencegah huru-hara yang lebih besar daripada Islam.
      
Menolak penyelesaian melalui Islam adalah permulaan segala penyelewengan. Tiada kerajaan dan masyarakat yang lebih aman dan sejahtera sepanjang zaman selain daripada pentadbiran Islam Madinah pada era Rasulullah SAW.  Tiada pentadbiran yang lebih makmur sepanjang zaman selain daripada pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz. Greek purba, Rom dan Parsi tidak dapat menyamainya.
      
Dalam pengalaman lalu, muafakat pembangkang tidak memberi laluan untuk mengetengahkan apa-apa formula Islam bagi mewujudkan masyarakat yang rukun di negara ini. Selagi PAS berada dalam muafakat seperti itu, maka Islam dalam apa bentuk pun tidak diberi laluan.
      
Bersama dengan muafakat seperti itu tidak memberi jalan kepada PAS untuk bersama menyelamatkan negara dan merukunkan rakyat. Maka untuk membawa PAS bersama dalam mewujudkan suasana satu lawan satu, pembangkang wajar terlebih dulu menerima secara baik RUU 355.
      
Jika pakatan baru yang Mahathir dan Muhyiddin anjurkan itu, bukan tidak munasabah, tetapi semuanya menunjukkan solidariti kepada RUU itu dulu. Jika ia dapat difahami, maka satu lawan satu adalah lebih mudah. – HARAKAHDAILY 19/9/2016

Share on Myspace