King Ghaz tiada dalam pesawat terhempas?

SUBKY LATIF | .

PAYAH saya hendak mempercayai tulisan di harian Shah Alam tentang Almarhum Tun Ghazali Shafie terselamat dalam nahas kapalterbang kecil yang dipandunya di hutan Janda Baik, Pahang pada 10 Januari 1982.
     
Yang lain dalam pesawat yang terhempas itu semuanya mati. Hanya menteri itu seorang yang terselamat. Diapun mulanya diberitakan mati tetapi pasukan mencari lebih sehari selepas itu mendapatinya selamat.
     
Berita tentang keselamatannya menyebut dia tidak cedera, hanya calar-balar. Mungkin calar duri dari tumbuhan di hutan tebal itu. Tiada diceritakan pakaiannya koyak oleh ranjau. Dia mesti bergerak dari bangkai pesawat. Lepas itu malam pula.
     
Nahas kapalterbang seperti itu lazimnya tiada yang selamat. Musibah itu berlaku tiba-tiba. Mana sempat orang hendak menyelamatkan diri. Biasanya hendak mengucap pun tidak sempat. Biasanya apa itu terhempas, pesawat remuk atau berkecai dan penumpangnya mati di situ juga. Sedang Tun Ghazali tak cacat. Ketika ditemui dia dilihat sihat.
     
Sekalipun nasibnya bukan mustahil dengan izin Allah  tetapi saya payah hendak percaya.
     
Yang diketahui dia terbabit dengan pesawat itu ialah ia dikeluarkan dari kelabnya atas namanya. Ia tidak boleh diizin keluar melainkan ahli kelab  saja. Dia ahli kelab.
    
Tetapi saya syak dia tidak ada dalam penerbangan itu. Kalau dia ada, dia mesti musibah sama seperti yang lain.
     
Teori saya, dia tempah pesawat itu tetapi ia dipandu oleh orang lain. Namanya hanya digunakan unuk membolehkan pesawat itu dikeluarkan. Di mana dia tidak diketahui. Tentunya dirahsiakan setelah musibah itu berlaku.
     
Saya syak pencarian adalah unuk mencari pesawat yang hilang. Bukan mencari Tun Ghazali kerana dia tiada dalam pesawat itu.
     
Apabila bangkai pesawat itu ditemui dipercayai Tun dihantar ke lokasi kejadian. Kemudian diumumkan bahawa dia saja yang selamat. Kemudian diadakan acara menyambutnya pulang.
     
Wakil kerajaan menyambutnya pulang seingat saya ialah Menteri Dalam Negeri Tun Musa Hitam.
     
Teori saya mungkin tidak betul. Dengan segala kekurangan dan kelemahan yang ada pada saya, saya tidak dapat membuktikan apa yang saya syaki itu.
    
Teori saya itu saya sandarkan kepada cerita dalam buku dan flem perisikan seperti James Bond, Scotland Yard dan lain-lain. Filem Hindustan selalu membawa cerita penyiasatan yang pelik-pelik. Ia banyak membawa cerita yang orang tidak sangka. Antaranya ada yang benar.
    
Kerana saya banyak membaca dan mengikut episod seperti itu maka payah hendak percaya kisah dikatakan Tun Ghazali Syafie tidak mati setelah kapalterbang yang dia di dalamnya terhempas. Jika dia ada sama ada dia mesti terbunuh. Jika dia terselamat, dia mesti mengalami kecederaan yang teruk. Mesti berbulan-bulan merawatnya.
     
Tetapi apa yang didapati, dia ditemui sihat. Tiada cerita dia trauma. Saya payah memikirkan ia suatu yang ajaib. Susah hendak masuk akal.
     
Musibah ini wajar dikisahkan semula supaya ia masuk akal. Ia boleh jadi kisah besar. Mengapa dia tidak bukukan perkara yang menggemparkan ini kiranya betul bagai yang diberitakan?
     
Saya belum baca buku Tun Musa Hitam Frankly Speaking. Patut dia sentuh hal ini supaya betul-betul Frankly Speaking. – HARAKAHDAILY 21/9/2016

Share on Myspace