Mahathir jumpa Anwar

SUBKY LATIF | .

INILAH berita terbesar buat negara ini sekurang-kurangnya dua dasawarsa kebelakangan ini. Semua perkembangan lain jadi kecil.
     
Apa pula perkembagan daripada pertemuan di mahkamah Kuala Lumpur itu tidak mudah diduga.
     
Sekalipun ia berita pertemuan antara Mahathir dan Anwar, tetapi ia berita itu lebih pada Mahathir jumpa Anwar.
     
Macam perjumpaan Nabi Musa dan Firaun. Kisah itu Nabi Musa a.s. diarah jumpa Firaun. Ada mesej yang Nabi itu wajar sampaikan pada Firaun. Semua orang tahu tentangnya. Walaupun sejarah yang penting tetapi adalah kebiasaan bagi nabi-nabi menemui sasaran dakwahnya. Nabi Musa jumpa Firaun itu memang patut kerana bukan Firaun yang mahukan pertemuan itu. Jadi ia kerja biasa bagi nabi-nabi.
     
Tetapi kalau Firaun yang jumpa nabi dan hendak bertemu nabi, maka ia jadi suatu yang ajaib. Ada benda yang menarik pada Firaun kalau itu yang berlaku.
     
Anwar sejak dipecat daripada kabinet dan dari Umno tidak memerlukan apa-apa daripada Mahathir baik dia masih jadi Perdana Menteri mahupun selepas tidak lagi jadi Perdana Menteri. Terfikir oleh sesiapa keduanya boleh bertemu semasa hidup kecuali secara terserempak.
     
Anwar memerlukan keadilan untuk dirinya dan kesnya. Mahathir tidak dapat memberikan keadilan itu dan tidak mungkin memberikannya jika keadilan itu ada padanya. Keadilan itu boleh dapat daripada mahkamah. Maka tempat Anwar minta keadilan hanya daripada mahkamah. Jika minta daripada Mahathir, ia bukan minta keadilan tetapi minta kesian atau sama dengan melutut. Orang bermaruah tidak akan melutut.
      
Kita arif dengan kata-kata hikmat, jika gunung tidak datang kepada Muhammad, Muhammad akan datang kepada gunung. Memang gunung tidak bergerak dan tidak boleh ke mana-mana. Dengan pertemuan dua orang berseteru itu, ibarat sama dengan gunung datang kepada Muhammad.
     
Itulah yang dapat kita ertikan pada pertemuan. Mahahir yang jumpa dia, bukan dia jumpa Mahathir. Tapi apabila kedua-duanya bersalaman maka kedua-duanya dikatakan berjumpa.
      
Apa yang mereka cakap, apa yang dijanji dan yang disetujui tidak diketahui. Terlalu awal untuk mengagak yang terbaik daripada pertemuan 20 minit itu. Tidak mustahil mereka bersetuju buat sesuatu tetapi tidak dapat dipastikan dapatkah mereka buat sesuatu dan capai sesuatu.
      
Dalam sejarahnya, kedua-duanya pernah berkawan bagi mengakhiri kuasa Tunku Abdul Rahman Putra. Lepas itu mereka tidak boleh jumpa dan tidak boleh dengar nama antara satu sama lain. Gara-garanya Anwar diISA.
      
Lepas itu mereka sekutu. Seorang jadi Perdana Menteri, seorang lagi jadi Timbalan. Lepas itu bersengketa pula. Gara-garanya Anwar dipenjaranya dan kemudian dipenjara pula oleh orang selepas itu.
     
Orang kata seperti berkerat rotan, berpatah arang. Tiba-tiba Mahathir pergi jumpa dia di makamah. Macam kerat rotan tak putus dan arang tak patah betul. Ia boleh dijadikan cerita filem Hindi yang baik.
      
DAP itu adalah seteru Umno yang nyata. Tetapi setiap pembesar Umno yang terkeluar daripada parti berkawan dengan DAP dan Kit Siang. Ajaib juga semua yang bencikan Kit Siang boleh berkawan dengannya. Tetapi pertemuan Anwar dan Mahathir lebih ajaib. Mungkin ia pertemuan baru yang memulakan kebaikan baru? Tetapi tidakkah selepas itu bercakar lagi?
      
Sempat lagikah mencapai dunia sehidup semati? – HARAKAHDAILY 22/9/2016

Share on Myspace