Adakah keluar Umno sudah bermula?

SUBKY LATIF | .

APAKAH tindakan Mohamad Hamidi Abu Bakar, Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Raja keluar UMNO baru bermulanya orang UMNO meninggalkan UMNO?

Semua kata dan rasa UMNO kian jadi kain buruk. Persepsi demikian sudah didengar sejak zaman Dr. Mahathir berkuasa lagi. Sekalipun DS Anwar Ibrahim dihalau dari UMNO, sekejap saja orang UMNO lari. Kemudian ramai yang berpatah balik.

Selepas TS Muhyiddin Yassin dihalau, ramai juga dikatakan koyak keahlian UMNOnya. Tapi tidak diketahui ketuanya Dato Shafie Afdal yang juga dihalau, sudah keluar atau tak jadi keluar. Setakat Dr. Mahathir bentuk parti baru, Shafie tak tersenarai sebagai penaja.

Bahkan tiga orang saja ahli UMNO yang terkenal jadi penaja iaitu Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz. Sudah beberapa bulan Muhyiddin dihalau tak nampak oang lari dari UMNO. Seolah-olah yang dikatakan kain buruk hanya dikata dan dirasa dalam hati, bahkan kain buruk itu dipakai juga.

Datuk Husni Hanadzlah tinggal semua jawatan UMNO tapi tidak keluar UMNO. Hanya Hamidi dari Kota Raja sambut cabaran dihalau UMNO keluar UMNO. Itupun dia kata, dia dihalau. Jika  tidak dihalau, adakah dia lari dari parti itu?

Sebaik lari dia akui UMNO tiada keramatnya lagi bagi orang Melayu. Dia akui akan ajak ramai tinggalkan UMNO.

Ketika Mahathir umumkan sekali lagi keluar UMNO tak nampak orang ikut. Bila dia umum bentuk parti baru tak nampak orang nyatakan ikut seperti orang ikut Tengku Razaleigh dan Anwar dulu. Yang ikut isteriya dan seorang anaknya.

Bila ramai orang UMNO marah Tunku Abdul Rahman Putra atas isu akta bahasa 152 dulu, ada tunjuk perasaan, komen Dato Asri ketua PAS masa itu, marah mereka tiga bulan saja. Tak sempat tiga bulan marah mereka pun padam.

Sudah lama UMNO dikira kain buruk tetapi pantang UMNO derhaka pada UMNO. Tetapi apakah pantang itu berterusan hingga kiamat.

Bangsa Rusia sejak Revolusi Bolshevik tahun 1917 pantang derhaka pada komunis. Habis Eropah Timurpun pantang derhaka. Sampai pertengahaan tahun 80-an, bukan sekadar mereka derhaka, habis sarang komunis dikeroyok.

Sejak tahun 1924 pantang Turki derhaka pada Kamal Ataturk. Berpuluh tahun bedebah itu berkubur, bangsa Turki pantang derhaka juga. Lepas percubaan rampasan kuasa tentera yang gagal sebulan dua lalu Kamal Ataturk sudah jadi kain buruk, koyak di sana sini.

Rusia dan Turki iu tidak derhaka kerana ada tukul besi untk memalu kepala mereka. UMNO rasanya tidak ada tukul besi. Mana yang rasa derhaka pada ketua, mereka dihalau. Komunis Soviet dan sekular Turki tak derhaka takut kepala ditukul besi. Tapi tanpa tukul besi UMNO pun tak derhaka juga. Kata Mahathir, disuap dedak belaka.

 Selepas sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia, Mohd Hamidi seorang diri lari dari UMNO. Apakah dia memulakan apa yang komunis buat di Rusia dan Turki buat pada bedebah Ataturk?

Komunis boleh bodohkan Rusia lama dan berkali-kali. Ataturk boleh sentiasa bodohkan Turki tetapi tidaklah boleh mereka dibodohkan semua masa. Melayu dan UMNO juga boleh dibodohkan banyak kali tetapi tidak mungkin dibodohkan semua masa.

Yang hendak dilihat, apa dengan Hamidi lari itu sudah tiba masa orang tidak boleh dibodohkan UMNO lagi. Jika orang UMNO tidak ikut Maahthir dan Muhyiddin, apakah mereka ikut Hamidi? - HARAKAHDAILY 25/9/2016

Share on Myspace