Pembangkang tiada calon Melayu layak jadi PM?

SUBKY LATIF | .

SATU tinjauan pendapat yang dijalankan di Ipoh mendapati tiada calon Melayu di kalangan parti-parti pembangkang di Perak dan Selangor dikatakan layak jadi Perdana Menteri.
      
Bila dan berapa lama tinjauan itu dibuat tidak dinyatakan, tetapi kesimpulan itu disiarkan sesudah TS Muhyiddin Yassin memfailkan permohonannya kepada ROS untuk mendaftarkan partinya.
      
Jika tinjauan pendapat itu diambil kira Tan Sri Muhyiddin pun tidak termasuk dalam senarai calon. Tidak dipastikan Dr. Mahathir dicalonkan.
     
Datuk Seri Anwar Ibrahim selamanya dikira oleh pembangkang calon Perdana Menteri yang tidak diragukan kelayakannya. Tetapi untuk PRU14 ini, belenggu banduan yang dikenakan ke atasnya, tidaklah layak baginya menjadi calon dalam pilihan raya, maka terkeluarlah namanya dari senarai calon Perdana Menteri.
      
Pakatan pembangkang tidak termasuk PAS telah menjadikan Dr. Wan Azizah Ismail, Presiden PKR sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Anwar. Secara logiknya dialah calon PM jika pembangkang berkuasa. Penerimaan pembangkang ke atasnya tidak ditakwil.
     
Apakah kedudukan Wan Azizah itu diambil kira dalam tinajauan pendapat itu? Jika ia diambil kira ertinya Wan Azizah pun tidak dikira layak juga.
     
Tinjauan pendapat tidak semestinya tepat. Kadang-kadang tidak tepat dan kadang-kadang kebetulan tepat.
      
Apapun TG Haji Hadi memang tidak dimasukkan oleh sekalian peninjau dalam dunia yang memejamkan mata terhadap ulama. Bagi puak Abu Jahal, insan mulia pilihan Allah, Rasulullah SAW pun mereka kira tiada apa kelayakan.
     
Boleh tinjauan tidak dipedulikan, kerana tidak diketahui adanya turutan tinjauan itu dibuat dari semasa ke semasa. Biasanya tinjauan yang popular diadakan selalu sehinggalah PRU itu tiba. Tinjauan bersistematik yang berterusan ada kalanya ada calon Melaya yang layak. Kemudian tiada, dan kemudian ada balik, atau memang tidak ada setiap kali ada tinjauan.
     
Sekalipin tinjauan tidak menjadi kayu ukur tentang tiadanya calon PM dari pembangkang, tetapi para pengkaji memberi perhatian bagi membantunya membuat kajian.
     
Saya tidak bercadang hendak mengatakan pembangkang ada calon Melayu itu. Mungkin betul tiada yang layak. Tetapi yang belum diberi amanah dan belum jadi PM, boleh jadi layak bila amanah diberi dan bila tugas PM itu dikendalinya.
     
Saya suka jika boleh tinjau akan orang yang sudah jadi PM, adakah masing-masing benar layak dengan amanah yang diberi? Jika mereka layak, ngapa PM Najib adalah kempen 1Malaysia yang memberi erti semua PM sebelumnya gagal membentuknya. Jika PM sebelumnya berkelayakan, ngapa Umno dan rakyat tarik sokongan terhadapnya?
      
Sebelum Najib jadi PM tentulah dia dirasa layak. Setelah jadi PM sejak 2009 adakah sudah dibuktikannya dia cukup kelayakan? Dan sekarang siapa kata dia layak?
      
Tanpa tinjauan umum merasakan dia tidak layak dan paling tidak layak di antara semua yang tidak layak. Dia dipersepsikan layak sebelum diberi amanah. Setelah diberi amanah terserlah tidak layaknya serba serbi.
      
Kita banyak mengikuti indeks kelayakan Presiden dan Perdana Menteri menurun dari semasa ke semasa. Mengapa tidak diadakan tinjauan terhadap yang sedang jadi PM? Jika tinjauan diadakan tahulah kita PM itu di bawah par kelayakan.
      
Memang bahaya orang tidak diyakinkan jadi PM dijadikan PM. Tetapi lebih bahaya orang yang sudah sah tiada kelayakan dikekalkan jadi PM. Buatlah tinjauan untuk mengetahui  kita berPMkan orang yang sah tidak layak.
      
Adakah BN juga tiada calon layak ganti PM? Jangan tak tinjau! - HARAKAHDAILY 3/10/2016

Share on Myspace