PM ke UNGA sekadar sunat

SUBKY LATIF | .

JIKA Perdana Menteri Najib tidak menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu – UNGA – ia adalah satu amalan  sunat. Ia bukan wajib dan tidak difardukan.
    
Analogi ini bukan fikah syariyah yang ditentukan ada pahala dan dosanya. Apa lagi bagi puakyang tidak melihat politik itu sebagai ibadat.
     
Bagi ibadat seperti haji, wajibnya sekali. Pergi yang kemudiannya berapa kali pun sekadar sunat. Amalan sunat seperti solat dan puasa yang diamalkan berterusan, pahalanya melebihi dari yang wajib.
     
Pada politik dunia tiada ingatan unuk dapat pahala sunat berganda menghadiri UNGA yang tidak wajib itu.
     
Perdana Menteri boleh menghadirinya dan boleh tidak menghadirinya. Bagi Presiden atau PM tertentu atas sebab tertentu suka menghadirinya seacap boleh. Bahkan perkara biasa UNGA diketuai oleh Duta Tetap kita ke PBB.
    
Tidak perlu kerajaan memberi penjelasan mengapa PM Najib diwakili oleh timbalannya dalam perhimpunan sekarang kerana ia amalan sunat saja.
     
Tetapi bila dijelaskan ia amalan biasa, maka ia menimbulkan syak dan waham orang terhadap tidak perginya itu. PM Najib boleh ke Berlin pada tempoh UNGA itu, mengapa tidak dilangsung saja dengan menghadirinya sekuran-kurangnya dapat mempamerkan rasa tidak bersalahnya atas isu MO1 yang ditimbulkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika.
      
Mungkin kehadiran PM kali dirasa mencapai status wajib memandangkan isu dunia yang amat panas kini iaitu kebanjiran pelarian khususnya Syria memasuki negara Kesatuan Eropah dan dunia memerangi keganasan IS yang Malaysia memandangnya serius.
     
Dan Malaysia sekarang ada pengerusi pakatan komuniti Asean yang baru diadakan dan rantau ini juga berdepan dengan layanan kezaliman terhadap suku Rohinya oleh kerajaan Myanmar yang baru demokrasi.
     
Bagi mendapatkan perhatian tinggi dunia dan PBB mungkin PM Najib perlu pergi sendiri mengemukakannya.
    
PM Najib bukanlah pula orang yang tidak suka keluar negara bagi bermuamalat seperti itu. Tiba-tiba kali ini dia bersikap rendah diri mewakilkan kerja ke UNGA itu kepada orang lain. Diterangkan pula tidak ada apa-apa dia tidak pergi kali ini.
     
Lagilah orang yang mentakwilnya selama ini mentakwil tindakan yang bukan fardu bagi PM itu. Kalaupun fardu ia masuk fardu kifayah. Apabila ada orang laksanakan terangkatlah fardunya.
     
Yang tidak didatanginya itu Amerika dan semua pemimpin dunia yang hadiri tahu tentang isu MO1 yang menimpanya. Payah juga bagi orang ada perasaan menghadapi muka orang yang memandangnya sekalipun mereka tidak tanya hal itu.
      
Akan tetapi wartawan Amerika dan yang lain-lain di New York tidak lepas peluang memburunya jika mukanya ada di bumi itu sekarang. Ancaman wartawan Amerika mungkin lebih berisiko dari ancaman Dr. Mahathir dan Muhyiddin dalam negeri.
     
Mewakilkan timbalannya Datuk Zahid Hamidi dalam acara besar seperti itu bukan yang pertama. Dia tidak pergi satu sidang puncak sebelum ini di Mongolia. Ramai ketua negara hadir. Apa yang dimalukannya untuk pergi  sendiri?
     
Mungkin dia tidak sedap badan tetapi semua boleh membuat andaian sama seperti andaian tidak hadirnya kali ini ke UNGA. - HARAKAHDAILY 4/10/2016

Share on Myspace