Paling tidak popular bulan ini, SPR

SUBKY LATIF | .

BEBERAPA ketika sebelum ini agensi paling tidak popular dan orang paling tidak popular pada KPI rakyat ialah Jabatan Peguam Negara dan Peguam Negara, Tan Sri Affandi.
      
Bulan ini ia jatuh sekalipun belumlah pulih. Ia kalah pada SPR dan Pengerusi SPR.
      
Memang SPR dan pengerusinya sebelum ini tidak popular dan pada 30 tahun belakang ini tidak pernah popular. Tetapi pengerusi yang baru ini diharapkan popular setelah menengok KPI rakyat sebelum datang ke situ. Rupanya ia dan dia jadi yang paling tidak popular setakat ini.
      
Adapun Tan Sri Nik Rashid, Pengerusi SPR kedua sebelum yang sekarang dikira berwatak disukai orang. Tetapi sebagai Pengerusi SPR, dia juga tidak popular. Dia seperti menebus imej selepas bersara apabila berani bercakap tentang kepayahannya semasa berjawatannya dulu.
      
Jika Peguam Negara tidak popular dia tidak disenangi anti PM Najib saja. ProNajib amat syok dengannya. Tetapi pengerusi SPR setakat ini dipertikai oleh golongan pro dan anti Najib. Umno pun menyatakan tidak senang dengan pelan persempadanan baru pilihan raya yang dipamer untuk bantahan sekarang.
      
Selama-lamanya SPR itu senjata sulit Umno bagi mengekalkan kuasa dua pertiga di Parlimen. Tetapi kuasa monopoli Umno boleh nahas jika dikekalkan persempadanan yang ada.
     
Bagi bulan ini pengerusi yang dikata oleh setengah penganalisa prokerajaan adalah proUmno yang ketara. Paparan persempadanan barunya sekonyong-konyong menjadikan dia orang paling tidak disukai oleh KPI rakyat.
     
Ia dikira boleh memusnahkan harapan perubahan yang dikehendaki oleh semua kecuali konco-konco Najib. Dengan mengumpul sebesar-besar majoriti Melayu di kawasan majoriti Melayu di satu pihak, dan menghimpunkan sebesar-besar majoriti bukan Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu di pihak lain, mendedahkan ancaman perkauman yang parah kepada masyarkat.
     
Itulah bantahan semua.
     
Yang mengira SPR buat yang terbaik dan betul-betul adil sekalipun Umno ada yang tidak senang ialah penganalisis dari sang-sang profesor. Dikiranya pandangan tidak disenangi oleh semua pembangkang dan prodemokrasi dan perubahan. Bahkan mereka getik akan sikap pembangkang itu.
     
Sebenarnya sang-sang profesor membaca elok buruknya sesuatu dari bilik di kampusnya dengan berpandukan laporan ilmiah para sarjana. Tetapi sekalian sang-sang itu tidak terlibat dalam dalam kerja-kerja politik teermasuklah pilihan raya dan kerja bagaimana parti politik hendak memenangi pilihan raya.
     
Seorang yang tidak terlibat terus dalam politik dan kerja-kerja pilihan raya tak tahu payahnya kerja-kerjanya. Mereka mampu rangka strategi yang baik dan praktikal yang boleh membantu kemenangan. Tetapi apabila datang persempadanan baru, semua strategi dan kerja musnah. Jika tak beriman boleh bunuh diri gara-garanya.
     
Mana-mana profesor yang terjun dalam politik seperti Almarhum Prof. Syed Hussein al-Atas, Prof. Syed Husin Ali, Prof Aziz Bari, Timbalan Ketua Menteeri Pulau Pinang sekarang dan lain-lain tak sama pandangannya dengan sang-sang profesor yang mengetahui politik dari buku dan bacaan saja.
     
Jika mereka kirim pelajar-pelajarnya buat kajian adil, temu semua orang politik terlibat, baca strategi dan pelan kerja mereka, mungkin mereka tahu gambaran yang sebenar. Petugas pilihan raya pembangkang bekerja dengan duit sendiri. Banyak habisnya.
      
Orang SPR dapat gaji dan jika kerja lebih masa dapat duit tambahan. SPR tak cukup duit minta dari kerajaan. Orang politik jual tanah, hilang pekerjaan, hilang peluang perniagaan. Semua pengorbanan itu jadi abu jika SPR buat senang-senang pinda sempadan sewenang-wenang. – HARAKAHDAILY 7/10/2016

Share on Myspace