Mustahil pisah manusia daripada maklumat palsu

SUBKY LATIF | .

UMAT Islam terutama akhir-akhir ini, di mana-mana saja mengeluh kerana menjadi mangsa fitnah media dan maklumat palsu.
      
Malang itu adalah disebabkan oleh Islam tidak menguasai media dan teknologi media. Dalam pembahagian ilmu media dan komunikasi pada zaman kemajuan teknologi ini, yang ada hanya konsep media duniawi. Konsep media Islam tidak diketahui. Maka umat seluruhnya terpaksa menjadi pelanggan media yang terdedah dengan maklumat palsu.
      
Umat Islam hanya berupaya mengecam amalan buruk itu tetapi tidak berjaya melepaskan diri daripada menjadi mangsanya. Atas kelemahan inilah umat Islam tertindas dalam dunia anti Islam yang menyeluruh.
     
Umat Islam sebagai manusia tidak wajar menyesalinya kerana kelemahan itu telah tersedia sebagai satu ujian kepada iman manusia yang Allah bekalkan untuk hidup di dunia sebelum pulang ke akhirat.
     
Manusia, malaikat dan iblis/jin asal kejadian beribadat kepada Allah. Iman iblis binasa kerana enggan patuh perintah Allah supaya tunduk kepada Adam yang dipilih menjadi khalifah di bumi. Jadilah ia penghuni kekal neraka. Iman malaikat tidak berganjak, menjadi tentera Allah pada semua masa, di bumi di langit, di dunia dan akhirat, di syurga dan di neraka. Iman manusia turun naik boleh jadi ahli syurga dan boleh jadi ahli neraka.
     
Sifat manusia sebagaimana ia perlu makan dan tidur, maklumat adalah keperluan asasinya. Ia tidak jadi manusia kalau tidak dapat khidmat media bagi membekalkannya maklumat, tarbiyah, muhasabah/kritisma dan hiburan. Ia akan jadi makhluk bodoh dan tidak dapat menjalankan peranan khalifah jika tiada makanan rohani itu.
     
Sebelum dikirim ke bumi Allah bekalkan Adam dengan nama semua benda. Ia tidak dibekalkan kepada malaikat. Maklumat itulah yang melayakkan menjadi khalifah. Itulah kelebihan manusia berbanding malaikat dan jin.
     
Adam dan Hawa ditransitkan di syurga sebelum diturunkan ke distinasi tetapnya di bumi. Di situ Allah bekalkan Adam dengan berbagai maklumat, apa yang boleh dimakan dan apa yang boleh didekati. Allah larang jangan dekati satu pokok larangan.
    
Maka datanglah iblis memberi maklumat palsu atas pohon larangan itu. Adam dan Hawa tahu maklumat larangan itu, tetap terpedaya dengan malumat palsu itu. Mereka makan buahnya lalu mereka dihambat dari syurga ke bumi.
     
Bermula daripada berita palsu dari syruga itu manusia mewarisi kelemahan itu sepanjang sejarah manusia. Sebagaimana iblis dan syaitan adalah ujian dan cabaran kepada iman manusia, menjadi Islam atau menjadi kafir, maka maklumat palsu adalah alat semula jadi bagi menguji iman masing-masing.
     
Allah bekalkan wahyu kepada rasul-rasul dan nabi-nabi sebagai panduan kepada manusia supaya tidak tergoda dengan berita palsu. Islam pesan kepada manusia tentunya yang  beriman, jika datang berita daripada orang fasik, hendaklah teliti kesahihannya supaya jangan terpengaruh dan jangan sebarkan.
      
Imam Bukhari, Imam Muslim dan lain-lain perawi hadis teliti semua sanad hadis sebelum mengesahkannya sebagai sahih dan boleh diterima.
      
Bagi menyelamatkan umat Islam tidak jadi mangsa fitnah media dan maklumat palsu, pastikan wujud sistem pengajian Islam sempurna dan pastikan setiap anak mendapat didikan Islam sepenuhnya supaya mereka waspada terhadap khabar daripada orang fasik dan waspada siapa fasik dan tidak dalam kalangan manusia.
     
Dan wujudkan rangkaian media dan ilmunya, biar pengamal media berpandu dengan kaedah Imam Bukhari dan sekalian perawi hadis mengumpulkan karyanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2016

Share on Myspace