PAS terima PAN jika Umno terima Bersatu?

SUBKY LATIF | .

SECARA terbuka dan berkali-kali PAN menyatakan kesediaannya untuk bersama PAS dalam pakatan pembangkang bagi menghadapi BN dalam PRU 14 ini.
      
Bahkan dari mula gabungan ganti Pakatan Rakyat mengajak PAS bersama yang di dalamnya ada PAN.
      
PAS pula bersumpah tidak sama sekali sudi bermuafakat yang di dalamnya ada PAN. Sekarang datang pula Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyidin Yassin mengajak PAS bersama dengannya bekerjasama dalam gabungan pembangkang yang lebih besar yang di dalamnya dan PAN dan satu lagi parti yang sebut namanya pun PAS naik loya.
     
Muhyidin sudah jumpa DS Anwar Ibrahim sekejap, sedia menawar diri menjadi jambatan supaya boleh dilalui PAS untuk bersama pembangkang.
     
Setakat ini reaksi PAS terhadap semua pelawaan mengikut loghat orang Kedah, tak bulo’. Tak bulo’ itu ialah tak lapar.
     
Maka semuanya tidak faham mengapa PAS fobia sangat tak mahu bersentuhan sangat dengan PAN. Macam bersentuh kulit laki-laki dan perempuan, batak wuduk?
     
Orang dalam PKR dan sekalian NGO pro-Pakatan sudah lama tidak faham dengan PAS. Dan sekarang Dr. Mahathir yang pakar dalam sepak terajang politik pun mungkin terasa tidak faham juga dengan sikap PAS itu.
      
Memang semua payah memahamai PAS. Dulu orang tidak menyangka PAS boleh sekelambu dengan DAP. Tetapi ia pernah tidur sebantal dengan DAP. Mungkin sekarang PAS lebih senang sekelambu semua dengan DAP daripada duduk semeja dengan PAN.
     
Hingga Umno pun macam gila dulu. PAS sedia kerjasama dengan DAP tapi dengan Umno yang sama-sama Islam, PAS tak bulo’.
     
Penerimaan PAS terhadap PAN sekarang samalah dengan sikapnya terhadap Umno selama-lamanya.
     
Bawa pakar jiwa dari Amerika dan Israel pun payah hendak memahami sikap PAS itu. Tetapi sikap PAS terhadap PAN itu tidaklah susah sangat untuk difahami. Jawapan amat senang, tak perlu menggunakan pakar sakit jiwa dari mana-mana.
     
Ia boleh dihuraikan dengan satu kaedah. Iaitu kira-kira sama saja kerjasama Umno dengan Bersatu yang baru ditubuhkan oleh Mahathir-Muhyidin sekarang. Kiranya Umno terima Bersatu masuk BN seperti ia pernah terima PAS satu masa dulu, maka lepas itu mudah bagi semua memahami sikap PAS.
      
Jika Umno boleh terima Bersatu dan Bersatu pula boleh sepakat dengan Umno dengan Najib masih ketuanya, maka mungkin PAS dapat memikir semula untuk berkongsi politik dengan apa jua cara yang di dalamnya ada PAN.
       
Kemungkinan itu kita boleh fikir setelah terlebih dulu Umno dapat menerima Bersatu bergabung dengannya bagi menghadapi pembangkang dalam PRU 14 nanti.
      
Kalau Umno tidak boleh pandang Anwar dengan sebelah mata, dan jika Umno ada tujuh mata, tak sebiji mata pun boleh melihat Mahathir daan Muhyidin, maka begitulah PAS pandang ke lain apabila ada PAN dan tak sedia dengar nama PAN sekalipun mendengar nama itu tidak dikenakan duit.
      
Biar Umno terima Muhyidin balik jadi Timbalan Presiden dan Muhyidin pun setuju balik jadi Timbalan Presiden Umno atau Umno bergabung dengan Bersatu dalam BN, maka lepas itu kita bincang semula mungkin atau tidak mungkin PAN bersekutu dengan PAS.
     
Jika kita tidak boleh fikirkan Umno dan Bersatu boleh bergabung, maka kita jangan sakit kepala atas isu kebersamaan PAS dengan pemberontak Islam progresif itu. Tak mustahil! Tak mustahil! – HARAKAHDAILY 11/10/2016

Share on Myspace