Berita ramalan biar munasabah

SUBKY LATIF | .

TELAH diviralkan calon Umno Terengganu dalam PRU 14 nanti kira-kira separuh terdiri daripada muka baru.
     
Sekalipun ia suatu yang luar biasa bagi Barisan Nasional, menggugurkan 50 wakil yang ada, masih ia termasuk dalam perkara mungkin. Biasanya BN khususnya Umno mengemukakan satu pertiga muka baru dalam setiap pilihan raya umum.
     
Calon pertama kali jika menang setiap kali ada harapan bertanding tiga kali pilihan raya. Perdana Menteri, menteri, Menteri Besar boleh bertanding lebih dari tiga kali. Masuk pilihan raya yang ke empat biasa sebahagian kecil saja calon yang sudah tiga kali itu bertanding lagi.
      
Jarang calon baru terdiri dari 40 peratus. 50 peratus lagilah tidak biasa. Tetapi bukan tidak mungkin bagi negeri yang Umnonya bergolak.
     
Umno Terengganu mungkin tidak bergolak, tetapi apabila kedudukan Menteri Besar yang juga Ketua Perhubungan Umno negeri bergolak, dan PAS pula jadi saingan hebat setiap PRU, maka denan  sendirinya politik negeri itu bergolak.
     
Pada zaman Najib ini Umno mengutamakan calon winnable, sebanyak-banyak yang membawa defeatible wajar digugurkan. Separuh MP dan Adun yang mungkin kalah dan menyebabkan BN kalah wajar digantikan.
     
Apabila berita itu diviralkan, maka ia boleh dikira mungkin. Dalam ilmu kewartawanan, berita ramalan adalah dibenarkan dan ia berita yang amat menarik. Sekalipun mungkin tidak betul tetapi berita ramalan bukanlah suatu jenayah dalam dunia kewartawanan.
     
Boleh diramalkan dengan imejnya yang ada PM Najib akan berundur sebelum PRU akan datang. Sekalipun kemungkinannya tipis tetapi bukan mustahil.
     
Tetapi dalam berita pertukaran calon yang banyak itu, jika nama Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Shabery Cheek hilang daripada senarai adalah dikira tidak munasabah pada masa ini. Setakat ini tidak nampak mereka  tidak digemari oleh Najib dan oleh Zahid Hamidi.
      
Jika berita ramalan itu hendak diviralkan, maka jangan gugurkan nama kedua mereka. Sekalipun Idris Jusoh itu sama warna di sisi Istana, tapi Najib dikira tidak stabil menggugurkan mereka. Nama Idris memang comot sejak digugurkan daripada Menteri Besar, tetapi tidak menyebabkan Najib membuangnya. Ditukarnya Idris ke Parlimen. Naik pangkat dia.
      
Maka Idris dipercayai akan kekal. Demikian juga Shabery. Tetapi mungkin dia ditukarkan ke Dun memandangkan dia adalah Umno terkanan di negeri itu sekarang. Ketika Umno mencari calon MB, maka Shabery dirasakan orang yang sesuai.
      
Maka namanya jangan dibuang daripada senarai, tetapi ditukar dari Parlimen ke Dun. Kalau dia menang kemungkinan tidak jadi Menteri Besar disebabkan PAS beroleh majoriti, maka dia boleh jadi ketua pembangkang yang menarik.
      
Bagi meramalkan dia kalah dan BN kalah memandangkan kedudukan Umno yang ada sekarang, bukan tidak mustahil. Dengan kemunculan Bersatu dan penampilan Dr. Mahathir yang boleh melemahkan Umno, maka Umno tidaklah sehebat tahun 1955 dulu.
     
Maka masa ramalan boleh diviralkan sekencang-kencangnya. Sama ada ia dibincang atau tidak oleh Umno Terengganu, berita ramalan dibenarkan oleh ilmu kewartawanan. Tetapi ramalan itu biarlah profesional dan munasabah. Menggugur nama Idris dan Shabery masa ini menjadikan ramalan itu tidak logik sekalipun tidak mustahil.
    
Viral itu menarik jika nama kedua-duanya dikekalkan. – HARAKAHDAILY 12/10/2016

Share on Myspace