Tembak babi rakan yang kena

SUBKY LATIF | .

SAYA tertarik dengan berita beberapa orang berburu di Sungai Siput. Seorang daripadanya ternampak babi hutan melintas. Diapun tembak sasarannya kena.
      
Mereka pun pada sasaran itu. Didapati yang kena tembak bukan babi hutan, tapi seorang dari rakan berburu terlentang sudah tidak bernyawa.
     
Rakannya itu terkena peluru di dada.
    
Dengan kejadian itu saya teringat dengan apa yang diceritakaan kepada saya ketika saya kanak-kanak dulu, sekitar 70 tahun dulu. Seorang yang dikenali oleh semua penduduk Pasir Panjang Laut, Sitiawan dengan panggilan Man Tembak.
    
Ia kejadian benar di Kampung Sungai Parit, satu dari lokaliti Pasir Panjang Laut. Namanya Othman.
    
Masa cerita itu disampaikan kepada saya Man Tembak sudah lama mati. Bahkan beberapa cucunya lebih tua dari saya. Kejadian itu mungkin sudah lebih seratus tahun dulu.
     
Othman bersama rakannya pergi berburu macam orang-orang yang berburu di Sungai Siput itu. Othman dikatakan ternampak rusa melintas. Dia pun tembak. Nampak rusa kena dan jatuh.
     
Apabila yang kena tembak itu rusa, maka sudah tentu Othman segera menerpanya bagi menyembelihnya sebelum ia mati. Jika ia tidak sempat disembelih, nescaya jadi bangkai, tidak halal lagi dimakan.
     
Alangkah terperanjatnya Othman kerana yang tertembak itu adalah rakannya. Dia terbaring dan sudah mati.
     
Kejadian sekitar seratus tahun lalu sama seperti yang terjadi di Sungai Siput. Yang nampak melintas dan ditembak di Sungai Siput itu babi. Yang terkena tembak rakannya. Yang nampak melintas di Sungai Parit ialah rusa dan yang mati tertembak rakannya.
     
Apa akhir kejadian di Sungai Parit itu, kampung kelahiran saya, tidak diketahui kerana saya pun tak bertanya pada orang  bercerita. Tetapi semua memanggilnya selepas itu Man Tembak. Dan saya pun tidak bertanya siapa yang jadi mangsa itu? Apa reaksi keluarganya dan apa penyelesaian yang dibuat?
     
Oleh kerana ia adalah kejadian yang tidak disengaja dan tidak dikira satu jenayah. Kalau pun disiasat, adalah kerana kecuaian. Tapi kalau kejadian yang sama bentuknya boleh berlaku seratus tahun kemudian, maka kejadian tak sengaja seperti itu boleh berlaku bila-bila.
     
Ada beberapa orang di kampung itu bernama Othman dan Abdul Rahman. Biasanya orang kampung panggil mereka Man. Tetapi Man yang satu ini dikenali dengan Man Tembak. Semuanya tahu, keluarga dan anaknya bahawa dia lekat digelar Man Tembak.
     
Seingat saya anak-anaknya dan cucu-cucunya tidak sensitif bila ayah atau toknya dipanggil Man Tembak.
     
Bahkan bila orang hendak memastikan mereka anak Man mana atau cucu Man mana, mereka sendiri jelaskan anak Man Tembak atau cucu Man Tembak.
    
Orang yang menembak mungkin trauma dan ada rasa salahnya, tetapi keadaan seperti kita terpaksa terima.
     
Ia tetap satu ujian dan fitnah. Orang-orang yang bersabar selalunya berjaya menghadapi ujian. - HARAKAHDAILY 24/10/2016

Share on Myspace