Memilih selain Islam, amal tidak diterima

SUBKY LATIF | .

SAYOGIA umat seluruhnya insaf dan peka terhadap wasiat Mursyidul Am yang baru, TG Hashim Jasin dalam Minda Mursyidul Amnya di Harakah keluaran 28 -30 Oktober 2016.
     
Ingatannya berbunyi, ‘....Islam adalah satu-satunya cara hidup yang diterima di sisi Allah. Memilih cara hidup selain Islam akan menyebabkan seluruh amal kita tidak diterima oleh Allah SWT.’
     
Selain tujuan politik memperjuangkan wujud di negara sebuah pemerintahan yang terlaksana di dalamnya aturan dan peraturan Islam, maka pembentukan PAS dalam tahun 1951 adalah demi menegakkan cara hidup Islam sebagai satu kaedah amal masing-masing dapat diterima.
     
Banyak syarat yang wajar dipenuhi supaya amal diterima Allah seperti yang digaris dalam hukum fiqah. Pertama Islam dulu, tetapi  dengan Islam saja, dibiar Islam tidak addin, tidak jadi sistem hidup yang menyeluruh, maka amal tidak diterima Allah.
     
Itulah pentingnya PAS menekankan Islam yang dirukunkan itu tidak seperti Islam yang dirakam dalam perlembagaan, tetapi adalah Islam sebagai addin. Tujuannya ialah bagi menjamin solat kita dan ibadat kita diterima Allah, dan dengan demikian hidup kita dan mati kita diredai Allah.
     
Orang PAS bersukur kepada Allah kerana pengasasnya para ulama dalam tahun 1951 itu membentuk parti itu bagi memperjuang Islam addin itu. Dan orang Islam yang tidak menyertai PAS patut juga bersyukur dengan kewujudan PAS, kerana ada juga di tengah masyarakat Islam sebelum merdeka dan selepas merdeka memperjuangkan Islam sebagai satu cara hidup.
     
Yang diketengahkan PAS itu tepat dengan ajaran Islam yang menyarankan kendaklah ada dalam kalangan umat itu segolongan orang yang menyeru kepada menegakkan yang makruf dan menentang kemungkaran.
      
Dengan apa yang diperjuangkan itu jika ia berjaya, maka ia menjadikan sekalian orang Islam  berada pada landasan amalnya boleh diterima.
     
Tidaklah kita hendak mendakwa Islam PAS saja yang betul dan Islam orang lain tidak betul. Pra syaratnya sistem hidup yang dipakai di negara ini mestilah sistem Islam. Kalau yang terpakai adalah sistem lain, maka ibadatnya jadi tonggang langgang.
     
Ini mengikut dakwah itu bermula di rumah sendiri dulu. Tetapi negara itu tidak sempurna setakat rumah kita saja elok tetapi di luar rumah dan di tengah jalan tak elok. Maka jadi tanggungjawab kita yang teratur bukan dalam rumah tangga kita saja, di luar rumah juga mesti elok.
      
Yang kita mahu amal kita diterima ialah kita mahukan syurga dan tidak mahu neraka. Kita tak mahu kita saja masuk syurga sedang orang lain – saudara sebangsa dan seagama masuk ke lain. Syurga itu bukan untuk kita saja. Ia luar tak bertepi boleh menampung semuanya sejak zaman Nabi Adam hingga sampai kiamat.
     
Kalau kita hendak lepaskan diri kita saja, lantaklah apa akan jadi pada orang lain maka para rasul dan nabi tidak perlu susah payah mengajak umat beriman. Maka kita dikehendaki mengikut jejak para nabi.
     
Yang kita susah payah perjuangkan juga cara hidup Islam itu mengapa? Jika tidak diperjuangkan  sistem itu tidak terlaksana. Maka selama-lamanyalah amal kita tidak diterima. Jika orang tak terima, kita jangan lari. Jangan jadi macam Nabi Yunus tinggalkan dakwah kerana umat tolak. Allah hukum baginda, tercampak ke laut, ditelan jerung dan dimuntahkan di pantai yang ditinggalkannya, mesti manyambung dakwah.
    
Pesan Mursyidul Am itu mesti dihayati. – HARAKAHDAILY 4/11/2016

Share on Myspace