Zuriat Umno diperangkap akta Umno

SUBKY LATIF | .

SAYA hendak mengikut resam Amerika memanggil Menteri Husni kepada bekas Menteri Kewangan Kedua YB Husni dari Tambun.
      
Amerika mengekalkan panggilan Setiausaha Hillary Clinton kepada bekas Setiausaha Negara itu. Tidak memanggilnya bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton. Demkian juga suami terus dipanggil Presiden Clinton walaupun dia tidak jadi Presiden lagi.
      
Maka saya kekalkan panggilan Menteri Husni kepadanya. Menteri Husni dipanggil Bukit Aman untuk memberi keterangan tentang perbahasannya di Parlimen yang menyentuh isu dalam kementeriannya yang berlaku semasa dia jadi menteri.
     
Demikian juga Menteri Muhyiddin Yassin dipanggil untuk memberi keterangan kerana perbahasannya menyentuh yang berlaku dalam kerajaan. Menteri Shafie Afdal juga bercakap begitu dipercaya dipanggil juga.
      
Apakah mereka sudah melanggar larangan akta hasutan dan OSA – akta rahsia rasmi – disengaja atau tidak sengaja? Atau apakah asal bekas-bekas menteri bercakap tidak puas hati dengan kerajaan dan menteri dan kementerian mana-mana saja  lalu mereka didakwa dan dihukum?
     
Akta hasutan dan akta rahsia rasmi ada rang undang-undang dan akta yang dibenci dan ditolak oleh pembangkang sejak dibentangkan di Parlimen dan setelah dikuatkuasakan. Semua akta ada baik dan ada buruknya. Islam mengakui arak ada manfaatnya dan ada keburukannya. Keburukan lebih banyak daripada kebaikan.
     
Demikian juga dadah. Sedunia mengatakan dadah ada kebaikannya tetapi sedunia juga memerangi dadah kerana bencana lebih banyak dan kebaikan hanya sedikit.
     
Kedua-dua akta itu adalah hndak mengelakkan orang bercakap atas isu sensitif yang boleh mencetus perkauman dan huru-hara. OSA pula bagi mencegah para pegawai dan sesiapa juga membocorkan rahsia rasmi kerajaan.
      
Semua maklumat dan kejadian asalnya halal tetapi akta menjadikannya haram. Ada yang haram dan ada yang tidak haram. Tetapi yang membezakan antara haram dan tidak haram adalah senipis kulit bawang. Tersentuh saja ia mudah terkoyak walaupun tidak berhajat mengoyaknya.
     
Akta macam ini mudah membantu yang adil jadi zalim, yang terbuka jadi tertutup, yang demokrasi jadi fasis dan diktator. Ia boleh menghalang kebebasan, mengkritik, menegur dan menyatakan sesuatu yang bebeza dari kemahuan pemerintah.
      
Tunku dan Tun Razak sebelum merdeka adalah lembut. Demi menyenangkan pentadbiran supaya tidak banyak diganggu oleh banyaknya bangkangan dan urusan kerajaan dan menteri dibocorkan, diadakan akta. Ia menakutkan orang tidak sealiran untuk menegur. Bila lama tiada teguran, ia jadi sedap. Bila ditegur melenting dan akta pun digunakan.
     
Semua pembangkang mengecam akta itu dan mengingatkan supaya kerajaan jangan jadi Firaun. Tetapi Umno semua mengata ia adalah yang seelok-eloknya demi menyelamatkan negara. Tiada Umno kata ia tidak baik.
     
Umno sendiri tiada sentiasa elok. Zaman Tunku ada tak eloknya. Siapa tegur Tunku, payah dapat projek. Zaman Tun Razak juga begitu dan demikian zaman Mahathir. Siapa usik Tun Razak dan Mahathir nescaya terima surat tak bayar cukai pendapatan dan tak jelas hutang Mara.
     
Paling teruk zaman Najib ini. Mana menteri yang tak sabar digantung atau dipecat keahliannya dan terbuang dari kabinet. Menteri Husni adalah sebaik-baik manusia. Tak suka menceceh. Dia tak tahan, dia letak jawatan kecuali MP.
     
Dia bercakap tentang kebimbangan dan tidak setujunya atas beberapa kejadian dalam kerajaan di Parlimen. Lalu terfitnah kata-katanya menyanggah akta-akta yang disediakan Umno dulu. Dia dan yang lain adalah cucu cicit Umno yang tidak pernah derhaka pada Umno tapi tak puas hati dengan ketua Umno sekarang.
    
Bila mereka merungut, lalu diperangkap oleh akta ciptaan tok nenek Umnonya dulu. Rupanya akta orang Umno jerat zuriat  Umno sendiri. – HARAKAHDAILY 5/11/2016

Share on Myspace