Lazimnya kerajaan mengalah

SUBKY LATIF | .

KETIKA rencana ini ditulis hampir seminggu negara berdepan bencana putus bekalan minyak masak di merata-merata di seluruh negara.
     
Kata sang menteri, minyak ada dan cukup tetapi pengguna berkejar ke sana sini tiada minyak di kedai bahkan di pasar raya. Tetapi kedai-kedai di sebelah sempadan di Selatan Thailand cukup bekalan seperti biasa mengikut harga tetap di sana.
     
Pekedai-pekedai itu adalah perempuan Melayu di sana, bekalan itu diperoleh dari Malaysia.
    
Memandangkan pengguna mengembara puluh batu mendapatkan sebotol atau setin minyak, itupun belum tentu dapat, maka pengguna-pengguna berhampiran sempadan seperti di Padang Besar dan Rantau Panjang boleh jadi bertuah mendapat beli minyak di seberang.
     
Harganya mengikut harga di sana, tentulah lebih mahal dari tempat kita. Mahal sikit pun berbaloi kerana dapat bekalan. Dibandingkan dengan orang Alor Setar dan Segamat berbatu-batu bermotokar mencari minyak belum tentu dapat. Motokar atau motosikal kena isi minyak, mungkin kena tol pula, dapat beli minyak sebotol. Tak berbaloi.
     
Untung orang di sempadan. Pergi saja ke seberang walaupun harga mahal, adalah lebih bertuah dari orang yang berpuluh batu mengembara mencari minyak belum tentu dapat.
      
Segala-gala berpunca diviralkan subsidi minyak akan dihapuskan. Dan harga minyak akan naik. Maka minyak pun hilang dari kedai. Ia hilang kerana ia disorok, satu fenomena biasa apabila harga hendak naik. Pembekal tunggal mengurangkan bekalan atau tidak membekal langsung.  Maka peruncit yang tidak dapat bekalan cukup pun ikut menyorok.
     
Inilah masalah yang dialami dengan krisis bekalan minyak masak sekarang. Bencana seperti ini berlaku sepanjang masa. Kadang-kadang bencana gula, tepung gandum, susu biasa dan susu bayi dan apa jua barang keperluan harian.
     
Bahkan bila didesas-desuskan petrol hendak naik, ia pun putus bekalan sehari dua.
     
Ketika krisis itu berlaku biasalah kementerian sibuk menghantar penguatkuasa menyerbu premis-permis yang dipercayai bekalan disorok. Kadang-kadang jumpa pula bahan sorokan itu. Seperti minyak masak sekarang. Bertan-tan minyak sorok ditemui.
     
Kerajaan dan menteripun sibuklah masa itu memberi amaran akan bertindak, mcam-macam hukuman dikatakan akan dikenakan.
     
Biasanya perang antara penguatkuasa dan pembekal – peniaga – sekalipun bekalan dikatakan cukup dan penemuan barang-barang sorok tidak pula mudah menyelesaikan krisis bekalan itu. Bekalan terus tidak cukup, pengguna terus tidak dapat bekalan.
     
Kita pun tidak tahu banyak mana dan ramai mana orang yang kena hukum dan tidak diketahui apa hukum yang dikenakan.
      
Dalam pergelutan itu selalunya kerajaanlah yang kalah dan mengalah. Dibenarkan harga naik. Bila ada harga baru, maka bencana pun pulih. Ada pula barang dan mencukupi pula. Sedang sebelumnya sebiji gula pun tak dapat dan sesudu minyak masak pun tidak ada.
     
Macam orang kena polong. Ketika kena polong itu nampak macam nak mati sangat. Bila kena pawang yang serasi, serta merta polong itu hilang. Macam tak ada yang berlaku. Putus bekalan pun begitu. Bila dibenarkan harga baru bekalan pun berlambak-lambak.
     
Biasanya yang menang pembekal, yang mengalah kerajaan dan menanggung beban pengguna. Begitulah kita. Sampai bila hendak begitu? Selagi kerajaan dikuasai oleh para saudagar dan kerajaan terdiri daripada hamba saudagar. – HARAKAHDAILY 7/11/2016

Share on Myspace