China boleh pintas Amerika

SUBKY LATIF | .

KIAN terserlah China boleh memintas Amerika sebagai negara dan kuasa utama dunia secara ekonomi, politik, pertahanan dan diplomasi.
      
Para pakar dan pengkaji masa depan dunia termasuk dari barat tidak menolak kemungkinan itu.
      
Strategi Amerika memeterai TPPA, pakatan dagang dan ekonomi 13 negara yang berpantai Pasifik, tidak menyertakan China yang juga berpantai Pasifik bagi membendung dan melambatkan kemunculan China sebagai negara dan kuasa utama dunia.

Tetapi kemaraan China mengundang pedagang seantero dunia memasarkan produk murahnya melambakkan barangannya di semua penjuru alam, payah menyekat persaingan China itu.
    
Dan China pula dalam tempoh 30 tahun belakangan ini memainkan diplomasi yang lunak. Ia tidak menujukkan hendak menelan Hong Kong supaya akur dengan sistem komunisnya sekalipun Hong Kong telah dikembalikan ke pangkuannya. Ia tidak hendak memaksa Taiwan dipulang kepadanya sekalipun ia tidak melucutkan tuntutannya atas negara pulau itu.
     
Dengan sikap itu ia mesra dengan semua kuasa dunia dan semua pakatan serantau, mengelak pertembungan dengan Nato. Diplomasi itu memungkinkannya menarik hati semua.
     
Kesan keputusan pilihan raya Presiden Amerika antara Hillary Clinton dan Donald Trump boleh menjadikan politik Amerika tidak menentu. Trump dicurigai semua dunia, Clinton pula dengan apa yang dikira skandal emelnya membuka medan baru, pro Trump tidak menerimanya jika Clinton menang. Akan memuncul ada bangsa Amerika tidak Amerika.
      
Maka TPPA belum tentu dapat memadukan Amerika. Semuanya memberi ruang selesa bagi China yang sudah dikira meningalkan Jerman dan Jepun untuk jadi kuasa kedua selepas Amerika.
     
15 tahun dulu saya terbaca fokus kuasa masa depan dunia diterbitkan di Turki, Tayyib Erdogan belum dikenali lagi, meramalkan China sebagai kuasa baru dunia menggantikan Amerika.
     
Ia memerhatikan keajaiban ekonomi China selepas Mao yang memasuki dunia ekonomi pasaran terbuka dan mengaitkannya dengan pusingan sejarah kuasa dunia. Baginya sejarah itu berulang. Kuasa itu berubah ke sebelah barat mengikut perjalanan matahari dalam bola glob dunia yang bulat.
     
Dimulakannya dengan penguasaan laut atas dalam sejarah lampau China lebih dua alaf lalu. Kuasa China beberapa ratus tahun beredar ke sebelah barat, jatuh ke tangan Islam di Timur Tengah. Ketika Eropah masih jakun, Islam menentukan kuasa dunia.
     
Selepas lebih enam kurun di bawah pengaruh tamadun Islam, dunia sebalah barat iaitu di Eropah, mula menguasai ilmu dan disiplin bekerja, kuasa dunia itu beralih dari benua Arab ke Eropah. Eropah keluar ke laut menjajah Asia, Afrika dan benua Amerika utara dan selatan. Maka giliran Eropah mengasai dunia buat enam kurun kemudiannya.
      
Apabila bangsa Eropah yang berhijrah ke Amerika, adunan semua tamadun Eropah itu terkumpul di Amerika sebagai tanah jajahan British, maka ia melancarkan pemberontakan terhadap Britain Raya, maka kuasa dunia yang berpusat di Eropah itu beralih ke barat iaitu di Amerika.
     
Mengikut sejarah itu tidak mungkin kekal hingga kiamat di Amerika.  Ia akan beralih ke barat dari Amerika. Sebelah barat Amerika ialah Asia. Kuasa yang menunggu ialah China. Maka pada pandangan pemikir Turki selepas pudarnya Amerika nanti maka kuasa dunia itu kembali semula kepada China yang duduknya di sebelah barat Amerika.
     
Disebutkannya betapa seluruh saudagar keturunan China yang ramai di dunia, termasuk di Amerika, Singapura, Malaysia, Hong Kong, Taiwan dan lain-lain semua pulang dengan modal besar membangunkan China sebagai persediaan China menggantikan Amerika menjadi kuasa dunia semula. – HARAKAHDAILY 8/11/2016

Share on Myspace