Bersih 5.0 lebih menggerunkan Najib

SUBKY LATIF | .

JANGAN sangka gerakan Bersih yang sudah empat siri itu tiada kesan langsung, maka ia tidak patut diteruskan.
     
Jika Bersih 5.0 tidak disertai PAS bukan kerana tiada yang positif daripadanya. Ada positif iaitu melemahkan monopoli politik Umno/BN dan mengancam kuasa Perdana Menteri Najib. Tapi apa positif yang Islam boleh dapat daripadanya?
      
Dari segi keselamatan, empat unjuk rasanya yang lalu tidak menggugat keselamatan. Sebaliknya lebih mengganggu pemikiran kerajaan ialah tekanan kuasa besar dunia tentang kemunculan Daesh di serata benua dan persepsi pemikiran setengah orang Sarawak dan Sabah tentang keberadaannya dalam Malaysia.
     
Sebaliknya dengan pengalaman empat demo itu memberi input cukup bagaimana hendak menangani demo besar tanpa mengancam keselamatan negara. Demo raksaksa susah dihindar di dunia yang terbaru kita saksikan di Hong Kong tentang kedudukan kota itu dalam China, bantahan skandal Presiden Korea dan unjukrasa di Jakarta tentang Gabenornya. Sekalipun ada kecederaan tetapi ia tidak mengancam keselamatan negara tersebut.
     
Semua pengalaman itu patutnya membantu mengawalnya dengan cara terbaik supaya asas penting dalam demokrasi tidak dibunuh.
     
PAS ada pengalaman dalam empat demo Bersih, tetapi Islam tidak dapat apa-apa. Ia tidak dapat jadi medan dakwah sekalipun Bersih 1.0 dimulai dari bilik hawa dingin markaz PAS. Setelah ia diserahkan kepada pengendali lain, ia boleh menjadi anti dakwah.
     
Dengan PAS memasuki politik matang dan sejahtera, ia tidak sekadar menilai dari sudut menang pilihan raya saja, tetapi apa yang Islam boleh dapat dalam setiap kerjasamanya dengan semua pihak?
     
Bersih 5.0 berdepan dengan cabaran besar, pertama tajaan baju merah yang tidak dinamakan Umno dan Pemudanya, tetapi adalah anti baju kuning Bersih. Baju merah tiada kalau tidak Bersih. Amaran kerajaan kepada baju merah sama seperti siasatan kerajaan kepada skandal 1MDB dan pembicaraan atas pembunuhan Altantuya. Siasatan yang tiada siasatan dan perbicaraan yang bicara sangat.
     
Cabaran atau fitnah kedua ia dibantu oleh Soros. Semua yang gilakan duit berbilion suka duit Soros. Jika diam-diam Soros masukkan derma RM2.6 bilion ke akaun bank seseorang, itulah yang dikehendaki. Ia jadi isu kerana Soros dikatakan menyalur dermanya kepada orang lain, bukan kepada penyangak derma. Derma Soros boleh memadamkan derma RM2.6 bilion dalam bank seseorang.
     
Mengapa Bersih 5.0 jadi lebih gempar daripada empat siri Bersih lalu? Kerana ia tambah mengancam keselamatan politik Najib dalam Umno dan mengancam keselamatan Umno dalam keyakinan rakyat yang sangat rendah kepadanya.
     
Dengan retak yang menunggu belah dalam Umno dan kuasa Najib bagai embun dihujung tanduk, Bersih 5.0 jadi permulaan kehabisan Umno dan riwayat kuasa Najib.
     
PAS biarkan Bersih buat apa yang dapat dibuat terhadap kekuasan Najib dan Umno, kerana apa jua yang terjadi Islam tidak dapat apa. PAS tidak mahu penat kerja tidak dapat pahala.
     
Kalau PAS berkecuali dalam Bersih 5.0, ditakdirkan dalam PRU 14 nanti ia kembali ke Parlimen dengan satu kerusi seperti tahun 1986 kerana tidak dapat undi dari penyokong pembangkang, maka jadi malang macam dialami dalam perang Uhud. Siapa berani kata pengalaman Perang Uhud tiada pahala bagi pejuangnya?
     
Dalam politik matang PAS itu, kejatuhan Umno /Najib diisi dengan agenda Islam, bukan memulakan perjuangan baru bagi menegakkan Islam yang tidak tercapai itu. – HARAKAHDAILY 10/11/2016

Share on Myspace