Shafie Apdal tahu apa dicakapnya?

SUBKY LATIF | .

MEMANG mengharukan kenyataan Datuk Seri Shafie Apdal setelah keluar daripada siasatan polis atas ucapannya di Parlimen tentang 1MDB.
     
Dia dan dua lagi bekas menteri disiasat atas topik yang sama di Parlimen setelah Speaker Parlimen membangkitkan betapa mereka dikatakan, sebagai bekas anggota kabinet, melanggar sumpah kerahsiaan boleh disiasat di bawah  akta hasutan dan OSA.
     
Selepas isyarat dari Speaker itu, maka polispun jalankanlah kerjanya.
     
Shafie adalah lulusan undang-undang di England dan pemimpin Umno yang sangat tegar Umnonya mungkin mengatasi tegar lain-lain pemimpin. Semasa bertanding buat kali pertama jawatan Naib Presiden Umno, semua calon diberi peluang muncul di kaca TV.
     
Secara lantang Shafie berpendapat Umno yang berkuasa tidak menggunakan kuasa yang cukup daripada peruntukan dan kemudahan yang ada pada kerajaan bagi menjamin kepentingan Umno.
    
Daripada kesempatan berkuasa itu kesempatan menggunakan kuasa itu, padanya tidak diambil sebaik-baiknya.
     
Saya kira, tidak wajar bagi menteri dan pemimpin Umno guna kuasa seluas-luasnya untuk kepentingan Umno, kerana menggunakan kuasa sewenang-wenangnya boleh melanggar kuasa yang diberi.
     
Apakah yang disuaranya itu wajar atau sebaliknya, saya tidak berhajat untuk mengulasnya, tetapi saya hendak menggambar sikap kasihnya pada Umno adalah melangit. Cinta Umno yang tinggi seperti itu patut tidak disayangi Umno.
     
Saya percaya Shafie memang tahu apa yang dia boleh cakap dan yang tidak boleh cakap. Dia mungkin tidak silap membaca pantang larang Parlimen. Sekalipun Parlimen ada kekebalan bagi anggotanya boleh bercakap apa yang tidak boleh dicakapkan di tempat lain, tentulah juga faham budaya tidak boleh bercakap sebarangan.
     
Tidaklah sunyi bagi bekas menteri boleh melanggar sumpah, kerana kelemahan manusia tidak sunyi daripada silap dan salah, tetapi tidak secara sewenang-wenang mereka melanggar peraturan. Kalaulah betul mereka melanggar sumpah, apakah kesemuanya sepakat mahu melanggar sumpah?
     
Mungkin Shafie justeru semangatnya tinggi, dilanggarnya sumpah. Masakan TS Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Husni Hanadzlah semangat tak dapat kawal diri? Seorang senang buat silap, tetapi ramai buat silap adalah payah.
     
Orang yang  siuman dan tinggi pengajian dan fahamannya atas tata susila, kehidupan berbudaya dan  tamadun, mengira mereka telah membuat apa yang patut menyuarakan isu besar yang melanda negara dan rakyat.
      
Orang tidak mengira Speaker wajar dan bijaksana menegur tiga-tiga bekas menteri itu. Dan semua  tidak mengira polis patut ambil keterangan mereka. Sekalipun menyoal mereka sebagai satu tanggungjawab, tetapi ia mudah jadi penghinaan.
     
Dua akta itu sendiri bukan popular bagi sebuah negara undang-undang dan amalan demokrasi berparlimen. Pengamal undang-undang tidak sekata atas kewajarannya. Kerajaan dikritik mengadakan akta itu.
      
Akta-akta itu mungkin bagi menjaga keamanan dan mencegah ancaman keselamatan, tetapi bukan untuk melindungi sesiapa melakukan pengkhianatan dan pecah amanah.
     
Mantan PM Mahathir telah bersama pembangkang dan lain-lain membantah tindakan atas tiga MP itu. Ia bukan sekadar mengganggu kekebalan dan kemuliaan Parlimen, kebebasan menyuarakan keadilan, bahkan boleh menghina MP terbabit bagi menegakkan kebenaran.
     
1MDB adalah satu puaka dalam kerajaan. Menegur/membantahnya wajib. Satu jihad yang besar bagi sesiapa mengata zalim pada pemerintah zalim. Akta-akta yang diguna bagi menyoal bekas-bekas menteri untuk melindungi kepentingan negara, juga bagi mengelakkan kezaliman dan penyelewengan kerajaan.
    
Shafie dipercayai tahu apa dicakapnya hinggalah dibuktikan dia tidak tahu apa dicakapnya. – HARAKAHDAILY 16/11/2016

Share on Myspace