Tahniah Maria Chin

SUBKY LATIF | .

MARIA Chin Abdullah, Pengerusi Bersih 5.0 ditahan gara-gara meneruskan demonya sekalipun diharamkan kerajaan.
     
Dia ditahan sebelum demo itu berlangsung dikatakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma (The Security Offences (Special Measures) Act 2012), satu akta yang tidak popular bagi prodemokrasi, sebaris dengan akta hasutan, akta rahsia rasmi dan mendiang akta keselamtan dalam negeri dulu.
     
Sosma adalah akta PM Najib dan ISA adalah akta bapanya.
     
Maria dukacita tidak dapat bersama dalam demo 19 November itu tetapi tentulah dapat melihat hasil dan kejayaannya. Ia dilaporkan paling bersih justeru dikatakan tiada kejadian buruk. Demo itu turut dijayakan oleh kumpulan baju merah sekalipun mimpi berlainan, tetapi ia meramaikan Kuala Lumpur.
      
Kehadiran baju merah itu menambah lariskan gerai makanan, menambah pungutan tol dan penggunaan petrol bagi yang pergi dan pulang dari demonstrasi. Ia baik bagi ekonomi. Jika yang berbaju kuning saja pulangan perniagaan mungkin 30 peratus kurang.
      
Jika demo itu menyebabkan trafik sesak, yang tambah menyesakkan kerana sumbangan baju merah. Sekalipun baju merah anti Bersih, mereka menambahramaikan orang masuk Kuala Lumpur hari itu. Secara tidak langsung menambah pengalaman polis – latihan – menghadapi unjukrasa besar setahun setengah atau dua tahun sekali.
     
CNN melaporkan, ribuan orang turun demo Kuala Lumpur menuntut PM Najib berundur macam ratusan ribu di Korea Selatan minta Presidennya letak jawatan.
     
Tuntutan Bersih itu banyak selain mahukan pilihan raya yang bersih dan adil, tapi mesej besarnya yang juga kemahuan Dr. Mahathir ialah seperti dimuatkan oleh CNN itu. Mesej itu adalah lanjutan daripada tanda tangan sejuta tuntutan rakyat yang Mahathir serahkan kepada Yang Dipertuan Agong di Istana Alor Setar.
      
Kerajaan marah Maria Chin tapi dia dapat menarik sokongan Mahathir dan Muhyiddin Yassin. Mahathir adalah penentang unjukrasa jalanan sejak lebih 30 tahun, tapi Maria berjaya mengubah sikap Dr. Mahathir, malah diakui ramai membantu Maria dan Bersih.
     
Jika Najib pecat ramai lagi ahli Umno, nescaya ramai lagi bersama Bersih hari itu.
     
Maria dan beberapa pendemo hari itu ditahan polis. Jangan kata Bersih bukan satu perjuangan. Tangkapan adalah asam garam dalam perjuangan. Penangkapan itu tidak menandakan Bersih keji, bahkan membantu mewarnai tuntutan prodemokrasi itu.
     
Dan jika demo itu dibenarkan masuk ke Dataran Merdeka dan polis datang membantu melicinkan lalu lintas, tiada tangkapan terhadap Maria Chin, nescaya tidaklah kerajaan Najib dilihat menindas kebebasan dan tiadalah Umno dikira sudah tidak relevan. Jika kerajaan itu tidak perlulah demo besar. Kalau pilihan raya kita adil dan bersih, tiadalah Bersih.
      
Maria tidak perlu ditahan. Lagi lama dia ditahan lagi nampak comot kerajaan dan Najib, dan diyakini nama Maria tambah harum. Jika selepas ini mata dan muka Maria lebam, maka sahlah teruknya kerajaan yang ada.
      
Jika Maria tidak dibebaskan dalam waktu terdekat, sahlah Sosma sekejam mendiang ISA.
      
Semua patut mendoakan Maria tabah dan tahan ujian seberat mana seskalipun tekanan dikenakan. Jangan hendaknya Maria dibawa ke kaca TV mengaku buat itu dan buat ini, ngaku menyesal anjur Bersih 5.0 seperti yang banyak dilalui oleh  tahanan ISA dulu.
     
Jika Maria jadi begitu, orang  faham akan tekanan yang dihadapinya.
     
Maria dilihat mulia, semua menunggu pembebasannya. Penahanan itu menambah hormat terhadapnya. Tahniah dan syabas Maria Chin Abdullah! – HARAKAHDAILY 23/11/2016

Share on Myspace