TPP tinggal 12 negara

SUBKY LATIF | .

BOLEH dikira 99 peratus Amerika tidak mahu TPPA, perjanjian perkongsian transPasifik tajaan Presiden Obama apabila pemenang Presiden barunya Donald Trump mengeluarkan video mengumumkan, tindakan pertamanya pada hari pertama masuk Rumah Putih ialah keluar daripada TPPA.
     
Ia bukan cakap kempen lagi tapi ia dasar utamanya, kerana baginya TPPA membawa kemusnahan kepada Amerika.
     
Kemungkinan berubah setelah memerintah dan ada pandangan lain daripada Kongres adalah tipis. Jika ia berubah ia tanda Trump tiada pendirian dan tak tahu apa yang dicakapnya. Ini jadikan dia orang loklak dan orang loklak tidak boleh buat kawan.
    
Saya sudah menulis, kalau TPP hendak diteruskan biarlah ia tanpa Amerika. Pandangan kedua Malaysia, TPP menjadikan Malaysia kekal dijajah semula kerana ia dikuasai Amerika serba serbi. Jika Amerika tidak ada, ia boleh jadi baik pada kita.
    
TPP adalah seperti kaukus bangsa-bangsa Pasifik anjuran Perdana Menteri Mahathir dulu yang tidak memasukkan Amerika. Ia terhalang kerana Amerika mahu menyertainya, Dr. Mahathir tidak mahu ia serta.
     
Cadangan saya dalam tulisan itu, 12 negara TPP terus tanpa Amerika dan boleh runding masukkan China dan Indonesia.
     
Menteri perdagangan Australia kemudiannya membuat kenyataan, biarkanlah Amerika tidak menyertainya. TPP boleh terus dengan negara-negara yang ada, malah boleh membukanya kepada China dan Indonesia dan lain-lain.
     
Anggota kabinet kita, Menteri Ong Ka Chuan juga berpendapat tidak mengapa kalau Amerika menarik diri, tiada sebab ia tidak boleh diteruskan tanpa Amerika.
     
Dan China pun sebenarnya ingin menyertainya. Tidak diketahui mengapa Amerika tidak memasukkannya pada peringkat penajaan dulu. Perjanjian perkongsian itu adalah bagi bangsa-bangsa Pasifik. China adalah negara rantau Pasifik yang penting. Bahkan ia adalah negara gergasi ekonomi dunia kedua terbesar selepas Amerika.
     
Perdana Menteri Jepun, Abe bergegas menemui Donald Trump sebelum ke sidang kemuncak di Lima, Peru dipercayai bagi mendapatkan jaminan Amerika kekal dengan TPP. Abe amat susah hati kiranya Donald Trump bertegas tidak menyertainya.
   
Video Trump keluar selepas PM Abe berjumpa Trump. Diplomasi Abe gagal memujuk Trump memikirkan semula tentang cakap kempennya dulu. Video itu adalah penegasan semula kenyataan kempennya dulu.
     
Setakat ini dikira muktamad Amerika sudah keluar TPP. Bagitulah selagi Trump mendiami Rumah Putih.
     
Malaysia adalah negara yang tercorot menyetujui TPP. Beberapa kali tertangguh pemeteriannya  dengan Amerika. Mungkin kelambatan disebabkan kuatnya tentangan fikiran kedua. Vietnam, Brunei Darussalam, Singapura sudah lama menerimanya, Malaysia yang selalunya laju, tapi kali ini ia liat.
     
Dr. Mahathir hingga akhir tidak setuju TPP kerana adanya Amerika. Ketika Trump menyatakan penolakkannya semasa kempen itu, sekalipun saya tidak suka Trump menang, saya juga menulis, harapan Malaysia terlepas daripada belenggu TPP ialah kalau Trump menang.
     
Itu saja cara kemerdekaan Malaysia terpelihara. Sekarang Trump menolak TPP, maka Malaysia terlepas daripada belenggu penindasan yanag ditakuti itu.
    
Dulu menyertai TPP satu keputusan silap kerana ada Amerika. Tetapi sekarang menyertainya betul kerana Amerika telah terkeluar.
    
Bagi pemikiran khurafat barat angka 13 adalah sial. Dengan Amerika terkeluar TPP tidak 13 lagi. Eloklah ia bermula dengan 12. Moga-moga ada tuahnya. Tuah itu bukan justeru ia tidak 13 tetapi tiada mustakbirin Amerika. – HARAKAHDAILY 24/11/2016

Share on Myspace