S46 bermula besar, Bersatu bermula kecil

SUBKY LATIF | .

TUN Dr. Mahathir adalah tokoh besar, mungkin lebih besar dari tiga Perdana Menteri  sebelumnya – Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Razak dan Tun Husein Onn.

Tentulah jauh besarnya dibanding dengan saingan politik penting seangkatannya Tengku Razaleaigh Hamzah. Tidak siapa pertikai hujah itu.

Kedua-duanya berpengalaman menubuhkan parti sendiri menentang UMNO. Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 menentang UMNO yang dipimpin oleh Dr. Mahathir. S46 yang dipimpinnya bermula besar. Kira-kira hampir separuh dari UMNO yang  terbelah dua bersama Tengku Razaleigh. UMNO ketika berahli 1.4 juta. 700,000 bersama Team B yang membentuk S46.

Banyak nama besar. Puluhan  Dato dan Tan Sri. PRU 1990 jadi ujian. Sedikit demi sedikit yang bersamanya pusing U termasuk Abdullah Badawi dan Musa Hitam. S46 tidak berjaya dalam PRU itu. Parti yang mulanya besar itu mengecil dan mengecil akhirnya ghaib.

Sekarang giliran Mahathir pula membuat parti baru bersama baru, Bersatu bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin menentang UMNO pimpinan Datuk Seri Najib. Meskipun nama dan ketokohan Mahathir itu besar tapi ia bersalahan dengan permulaan parti Ku Li. Ia bermula kecil seolah-olah tidak padan dengan kehebatan Mahathir itu.

Tidak nampak nama-nama orang UMNO terkenal selain dari berdua mereka dan anak Mahathir, Mukhriz mendepani parti itu. Yang dikenali ramai Tan Sri Nik Rashid Abdul Rahman, pengerusi SPR yang amat masyhur, mahir dengan urusan pilihan raya tapi tiada pengalaman politik. Kedua Dato Aziz Yassin, abang TS Muhyiddin, pernah jadi pegawai kerajaan yang dinamik sebelum Mahathir jadi menteri. Aziz juga bekas Anggota Parlimen BN Muar.

Yang lain yang ada pengalaman politik dan mengendalikan organisasi belia ialah Kamaruddin Mohd Nor yang dinamakan sebagai ketua penerangan. Yang lain-lain tak menyerlah dan belum menyerlah.

Orang UMNO yang handal-handal yang dipercayai akrab dengan Mahathir dan Muhyiddin tidaklah sedikit untuk menjadi denak kepada parti itu. Tetapi tidak tersenarai.

Paling kanan dan terkenal yang diketengahkan selain dari kedua mereka dan Mukhriz ialah Kamaruddin. Dalam UMNO Kelantan dia tidak tertonjol.

Padahal dia adalah Setiausaha Agung ABIM pada ketika kemasyhuran Anwar Ibrahim dan ketika ABIM paling mekar. Pada masa ABIM dipimpin oleh nama besar di samping Anwar bersama Ustaz Fadzil Noor, Sanusi Junid, Syed Ibrahim, Sidik Fadzil dan lain-lain, Kamarudinlah pengendali dan penggerak ABIM yang penting.

Pelajar-pelajar di Mesir, England dan Amerika berada dalam senarai buku Kamarudin. Zahid Hamidi dan Fuad Zurkashi adalah orang-orang bawahnya yang tidak dikenali. Boleh dikira dialah pembantu terkanan Anwar.

Anwar seperti lain-lain orang politik yang mencari kekuasaan membawa semua orang kuatnya masuk UMNO termasuk Kamaruddin. Dengan pengalaman pentadbir ABIM dan hubungannya dengan gerakan belia Islam antarabangsa, Kamarudin mungkin boleh jadi orang penting UMNO Kelantan.  

Tetapi dapat jadi Ketua UMNO Bahagian Pasir Putih, tidak diketahui ada peranan besar dalam UMNO negeri. Bila penyokong-penyokong Ku Li keluar dari UMNO, orang baru yang naik ialah Annuar Musa. Hingga akhir dia diketahui sebagai pimpinan utama UMNO Kelantan.

Bila Anwaar melancarkan Reformasi ramai penyokong Anwar meninggalkan UMNO Kamaruddin tidak ikut Anwar. Kedudukannya dalam UMNO tidak kedepan kerana UMNO yang anti Anwar mengira dia oang Awnar. Ramai orang ABIM naik dalam UMNO seperti Zahid, Kamarudin jadi orang Pasir Putih saja. Muhyiddin dapat dia jadi Ketua Penerangan. Adakah orang UMNO yang mengikutnya?

Dengan situasi bermula dari kecil, bagaimana Bersatu boleh jadi besari? Inilah yang semua sedang perhati. - HARAKAHDAILY 1/12/2016

Share on Myspace