PAS, DAP saling membenci, tak tinggal Kerajaan Selangor

SUBKY LATIF | .

YANG tidak faham dengan politik PAS, mungkin merasakan PAS macam sesumpah, menolak sebarang penglibatan dengan DAP, tetapi kekal dalam kerajaan Selangor yang ada sedang DAP adalah sebahagian daripada kerajaan itu bersama PAS.
      
Marah macam mana pun PAS terhadap Dr. Mahathir sejak dari semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi, tetapi tidak menolak kehadiran partinya Bersatu dalam pakatan pembangkang dan dalam melaksanakan projek formula satu asal jangan ada DAP dan parti Mat Sabu.
     
Maka adakah bercanggah sikap PAS Selangor dengan PAS pusat apabila ia berada dalam kerajaan Selangor bersama DAP, sedang getik PAS pada DAP masa ini tiada taranya?
     
Memang nampak bercanggah sikap PAS itu apabila ia boleh bersama dengan DAP dalam kerajaan Selangor. Mungkin pening orang hendak memahami politik PAS terutama pemikir politik termasuk para sarjana setiap universiti.
      
Tetapi sikapnya di Selangor itu bukanlah sikap terpencil oleh PAS Selangor, bahkan ia adalah sikap PAS pusat. PAS Selangor tidak membuat polisinya  sendiri, sebaliknya melakanakan keputusan Majlis Syura dan pimpinan tertinggi PAS, yang Datuk Iskandar Samad, Pesuruh Jayanya adalah seorang daripada pimpinan pusat PAS.
      
Jika orang tidak faham, adalah disebabkan kegagalan memahami sifir politik. Sifir politik tidak sama dengan sifir matematik. Dalam matematik dua campur dua mesti empat. Sifir politik dua campur dua  tidak semesti empat. Kadang-kadang ia jadi lima atau sekadar tiga.
      
Tetapi PAS politik Islam. Bolehkah sama sifirnya dengan politik sekular? Politik itu ada seni dan muslihatnya baik ia siyasah syariyah atau politik duniawi. Kaedah biasanya sama, bezanya ia menyanggah ketentuan Allah atau tidak.
     
Yang terjadi di Selangor itu ada muslihat syarienya dan sikap terhadap DAP itu berpandu pada syarienya juga.
     
Jika dibaca pula politik DAP, bukan sekadar ia tidak percaya lagi pada PAS, bencinya pada PAS tidak kurang dibandingkan benci PAS kepadanya. Tidak mahu lagi ia terlibat dengan PAS. Orang yang setia dengan dalam kerajaan Pulau Pinang habis dibersihkan.
     
Tetapi kebenciannya pada PAS tidak sampai ia keluar daripada kerajaan Selangor. Katakanlah DAP  tidak berperangai sesumpah, tetapi ia kekal menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor sekalipun PAS juga sebahagian daripada kerajaan itu.
     
Marahnya DAP pada PAS, Tuhan saja yang tahu. Tetapi kebenciannya tidak sampai ia meninggalkan kerajaan Selangor. Timbalan Speaker Selangor adalah orang PAS. Jika tiba masa Timbalan Speaker menjalankan tugas Speaker, tidak pula Adun DAP keluar meninggalkan Dewan.
     
Mengapa? DAP juga membaca sifir politik sepeerti yang dibaca oleh PAS. Mungkin PAS untuk meninggalkan kerajaan Selangor. Tetap DAP juga rasa bertanggungjawab untuk melihat kerajaan Selangor yang ia sama tegakkan tidak tumbang sebelum PRU berlangsung.
     
DAP Selangor pernah mengumumkan untuk meletak calon di semua kawasan yang diwakili PAS sekarang. Jika itu yang DAP lakukan ia akan memecahkan formula satu sedang DAP komited dengan formula itu.
      
Jika PAS tolak parti Mat Sabu bukan kerana mirip sesumpahnya. Siapa juga meninggalkan parti membentuk parti lain tidak akan diterima oleh parti asalnya. Khomeini tidak ampunkan orangnya yang keluar menentangnya. Umno tidak akan kerjasama dengan Bersatu yang Mahathir tubuh. Ia hendak sangat kalau PAS mahu  bersamanya, tapi tidak dengan Mahathir dan Muhyiddin.

Itulah namanya manusia. – HARAKAHDAILY 10/12/2016

Share on Myspace