Seringgit seorang untuk kerusinya di Istana Negara

SUBKY LATIF | .

SAYA tengok melalui TV sebaris tetamu bergelar Tun di baris depan acara melafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Sultan Muhammad V di Istana Negara.
     
Di baris itulah kerusi untuk Tun Dr Mahathir hilang. Kerusinya itu mula-mulanya ada. Dia telah diundang. Diapun setuju hadir kerana acara setiap Seri Paduka lafaz sumpah sejak jadi Perdana Menteri dan selepas berundur dia hadir.
     
Tiba-tiba dia dimaklum kerusinya tiada, sudah hilang, maka kalau datang juga logiknya bersila di lantai.
     
Siapa melarikan kerusinya? Mungkin ini kerja jin seperti kisah Nabi Sulaiman a.s. memerintahkan jin dalam sekelip mata melarikan istana Ratu Balqis di Yaman Purba ke tempat persemayam Nabi Sulaiman di Palestin.
     
Masa mungkin ada bagi menggantikan kerusinya yang hilang itu. Tapi mungkin  tiada yang berani menggantikan kerusi yang hilang itu  takut dimarah jin yang melarikannya dan takut jin akan ganggu acara itu. Jika tiada kena mengena dengan jin, kerusi itu tidak dapat digantikan, mungkin juga kelembapan ekonomi dan kekeringan dana kerajaan tidak mampu membeli sebuah kerusi lagi.
     
Jika kerajaan sudah tidak berduit dan duit jadi masalah, maklumkan kepada rakyat yang mengasihi Dr. Mahathir duit idak ada, nescaya mereka berderma seringgit seorang supaya beliau boleh hadir. Memandangkan usianya amat lanjut, mungkin itulah kali terakhir menyaksikan majlis lima tahun sekali itu.
     
Jika ia angkara  kerusi dilarikan jin, memang jin itu tidak patut buat begitu bagi manusia. Ia dikira menghina dan memalukan manusia yang dilarikan kerusinya. Dr Mahathir itu adalah manusia yang ada nama, ada pengikut dan masih bergelar Tun. Tunnya belum dicabut, maka mengharamkannya datang tidak dikira bijak oleh manusia.
     
Donald Trump itu dikira manusia yang kering hatinya, tetapi dia tidak benarkan jin curi kerusi untuk Presdien Obama dan Hillary Clinton hadir di acara angkat sumpah Presidennya nanti.
    
Apa pun ia adalah nasib amat malang bagi Tun Mahathir yang selama lebih 20 tahun menjadi orang yang paling berkuasa dan berpengaruh dalam negara. Dia tidak dibuang dari kuasa seperti Saddam Husain dan Muammar Ghadafi. Dia melepaskan jawatan di tengah cucuran air mati puluhan ribu.
     
Diapun seorang yang banyak silap semasa amat berkuasa dulu. Yang marah kepadanya pun ramai. Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor yang geram kepadanya pernah berkata, biar umur panjang supaya dia dapat melihat apa orang buat padanya.
     
Memang usianya panjang dan macam-macam orang kata padanya dan banyak kisah menghinanya dan cacian itu datang dari kumpulan yang mengganti dan menyambung kuasa dan sistem yang ditinggalkannya.
      
Kalau Ustaz Fadzil ada sekarang, geram macam mana pun, mungkin beliau pun tidak suka jin dan penyokongnya  rendahkan maruahnya sedemikian rupaya. Mereka yang menghinanya ada penyokongnya dulu. Semasa dia silap dulu mereka menyokongnya, dan semasa dia menentang penindasan sekarang mereka melanyaknya. Mereka bersamanya semasa dia silap dan mereka menolaknya semasa dia betul.
     
Dia bukan pemimpin Umno pertama menentang Umno dan membentuk parti lain. Yang pertama Dato Onn Jaafar. Kedua Tunku Abdul Rahman. Dia sudah rancang parti lawan Umno, tapi tangguh penubuhannya kerana PM Hussein Onn tangkap suspek komunis dalam Umno.
     
Adakah Mahathir akan mengulangi nasib Dato Onn atau dia dapat capai apa yang Dato Onn tidak dapat? - HARAKAHDAILY 19/12/2016

Share on Myspace