Jangan sokong pembangkang kerana Anwar Ibrahim!

SUBKY LATIF | .

KENAPA kita patut menyokong pembangkang?
      
Kerana pembangkang yang kuat sekalipun tidak berjaya menggantikan kerajaan yang ada, ia boleh menjadi penyemak dan pengimbang kerajaan. Maka kerajaan yang berhadapan dengan pembangkang yang kuat nescaya sentiasa berhati-hati, telus, peka atas kesejahteraan rakyat, adil dan saksama dalam pemerintahan serta menjauhi penyelewengan.
    
Pembangkang yang kuat dan ia bersedia dengan program membela rakyat dan membangunkan negara, bila-bila masa boleh menggantikan kerajaan apabila berada dalam kelemahan dan membuat sebarang kesilapan.
     
Dan kadang-kadang pembangkang yang kuat berjaya menggantikan kerajaan yang kuat dan baik disebabkan ia dapat menawarkan sesuatu yang lebih baik kerajaan yang baik, seperti yang terjadi dalam pilihan raya Presiden Amerika sebulan lalu. Umum dalam dan luar negeri mengira Presiden Obama baik dan calon partinya Hillary Clinton adalah baik. Tetapi Donald Trump dapat meyakinkan dia boleh tawarkan perkhidmamtan yang lebih baik, maka partinya berjaya menggantikan kerajaan yang dirasakan baik.
     
Yang menyebabkan dia menang bukan sekadar dia dapat menawarkan sesuatu yang lebih baik, tetapi ia sendiri adalah pembangkang yang kuat.
    
Dalam dunia demokrasi, yang menyuburkan demokrasi itu ialah wujudnya pembangkang yang kuat.
    
Pembangkang yang tidak kuat selama lebih 50 tahun medeka di Malaysia, bukan tidak menjadi semak dan imbang yang berkesan, tidak mampu menggantikan kerajaan. Dan kerajaan yang lebih separuh abad tidak dapat digantikan selemah mana pun ia, maka ia leka dan tidak merasa perlu untuk memberi khidmat yang terbaik.
     
Tak tawarkan apa-apa, lemah macam mana pun dan menindas macam mana pun, ia juga berkuasa. Maka kerajaan seperti ini ada menempah negara dan rakyat yang haprak.
      
Memang negara kini menuju negara yang haprak. Maka jadi tanggungjawab sosial dan  demokrasi rakyat di negara ini memandat dan memartabatkan pembangkangnya.
      
Pembangkang pun sebenarnya sudah membuat banyak kemajuan. Ia disokong kerana ia boleh memberi semak dan imbang dan boleh menyekat kerajaan jadi haprak dan boleh mengekalkan negara beroleh kerajaan yang kuat yang memberi kebaikkan kepada semua.
     
Sebelum kedatangan DS Anwar Ibrahim dan sebelum mari pula Dr Mahathir dan TS Muhyiddin Yassin ia sudah menampilkan pembangkang peka dan bertanggungjawab.
    
Sejak kehadiran Anwar dalam pembangkang sudah dua kali kerajaan nyaris tumbang. Dan Anwar sekarang sekali lagi terhalang untuk berjuang semaksima bagi membantu menumbangkan kerajaan. Halangan pemenjaraannya menyebabkan dia terhalang untuk memimpin kerajaan menunggu itu. Bahkan ada yang mengira dia tidak relevan lagi untuk jadi Perdana Menteri. Namun masih ramai juga mahu bersama pembangkang kerana nilai-nilai yang ada pada Anwar. Syabas atas pendirian yang semua bersamanya.
     
Penyertaan dalam pembangkang itu jangan dibuat kerana adanya dia sebagai pembangkang. Sertai pembangkang kerana pembangkang hendak menumbangkan kerajaan yang haprak. Kita bersama Anwar kerana dia dapat memberikan sumbangan yang besar.
     
Serta kita itu bukan kerana Anwarnya  tetapi apa yang dapat diberinya kepada perjuangan menggantikan kerajaan haprak bagi menegakkan kerajaan yang baik. Tanpa Anwar pun usaha mulia itu diteruskan juga. Jika sertai pembangkang kerana Anwar, nanti kita tidak rasa pembangkang penting bila Anwar tidak lagi dalam pembangkang.
    
Al-Marhum Hasan Adli bersama PAS bukan kerana Dr Burhanuddin al-Helmy dan Zulkifli Mohamad, tapi kerana pejuangan PAS dan Islamnya. Kita bersama TG Haji Hadi, buka kerana beliau Presiden PAS tetapi perjuangan Islam/PAS yang dipimpinnya. - HARAKAHDAILY 21/12/2016

Share on Myspace