Raja beragama nescaya rakyat pun beragama

SUBKY LATIF | .

PERSEMAYAMAN Yang di-Pertuan Agong yang baru, Tuanku Sultan Muhammad V bermula baik dan didoakan oleh ramai moga-moga berakhir baik juga.
     
Menjadi perbualan di masjid tentang penampilan baginda bersifat sederhana berjamaah waktu bersama orang ramai tanpa protokol rasmi-rasmian. Dikatakan memandu motokar sendiri ke masjid. Baginda dikatakan tidak memaklumkan kepada polis yang bertugas untuk berangkat hingga polis tidak sempat mengiring.
     
Saya teringat peri kecoh polis justeru Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra yang berjalan-jalan di sekitar kediaman rasminya menyelinap keluar pagar tanpa disedari polis. Tiba-tiba polis mendapatinya hilang dari perhatian polis.
     
Ketua Polis Negara di zamannya, al-Marhum Tun Salleh mengadap Tunku minta jangan buat begitu lagi kerana susah polis oleh kejadian seperti itu.
     
Ia gara-gara orang besar tidak mahu terikat dengan protokal rasmi-rasmian.
     
Apapun penampilan baginda pada pandangan umum Raja yang beragama. Ia adalah selaras dengan tuntutan agama. Ada hadis bermaksud, agama rakyat mengikut agama raja. Mafhumnya bila beragama maka rakyat pun beragama dan jika raja cincai maka rakyat pun cincai.
     
Beberapa dekad selepas merdeka semuanya viral dengan keruntuhan akhlak masyarakat, menjadikan rakyat tempang dan membimbangkan masa depan umat dan negara. Jika difahami hadis tadi, tentu ketempangan masyarakat itu justeru penampilan orang atas tidak berat beragama.
     
Dan lazimnya rakyat yang baik atau bergerak ke arah masyarakat yang baik, nescaya Allah kirim pemimpin yang baik.
     
Memang sekarang rata-rata masyarakat ummah cenderung kepada kebaikan/berkebajikan. Maka kedatangan raja beragama nescaya memarakkan kehidupan beragama. Raja adalah khalifah. Khalifah tidak sekadar pemegang pemerintahan tetapi adalah ketua agama. Wajiblah ketua agama iu orang beragama. Pincanglah ketua agama tidak beragama.
    
Apabila raja  berakhlak, maka rakyat yang cenderung agama, wajar menyambut dan membantu raja bagi membangunkan ummah dan negara supaya negara mencapai martabat baldatun tayibatun warabbun ghafur.
      
Dengan Yang di-Pertuan Agong yang baik, moga-moga kita beroleh ketua kerajaan yang baik pula dengan izin Allah.
    
Antara yang dikagumkan ialah biar banyak menggunakan Allahu Akbar sebagai ganti kalimah Daulat Tuanku. Mungkin Daulat Tuanku tidak mencacatkan kehidupan beragama, tetapi memakai Allahu Akbar adalah terpuji.
     
Yang semua tunggu ialah khilaf mengangkat sembah Raja. Ia tiada dalil dalam Islam. Al-Marhum Tun Datu Mustapha pernah mencadangkan kepada Perdana Menteri zamannya supaya amalan menyembah itu diganti dengan yang lain.
      
Perdana Menteri menyerahkan kepadanya mendapatkan pandangan Raja. Tun Mustapa memberitahu saya, beliau tidak sukar dapat perkenan dua Sultan. Bila jumpa Raja ketiga dia kena marah. Beliau pun tidak meneruskan.
      
Ada satu percubaan oleh seorang ulama terhadap seorang Sultan mengira menyebab itu salah. Muftinya mengira ia tidak berdosa tapi tak berpahala. Ulama itu menyarankan jangan buat kerja yang tidak dapat apa-apa. Setiap kerja setiap minit mesti beroleh pahala. Raja itu tidak menolak tetapi tidak berani mengemukakan kepada Raja lain.
      
Mungkin dengan Seri Peduka yang  terbuka kepada agama ini menjadikan masyarakat Islam lebih terbuka, memulakan semakan supaya amal yang khilaf tidak membelenggu budaya Islam yang syumul. Moga-moga kita dilimpahi rahmat dan penampilan baginda baru inipun satu rahmat besar.
      
Kita sama-sama menuju ke matlamat yang lebih baik, pegangan Islam yang lebih sempurna. - HARAKAHDAILY 27/12/2016

Share on Myspace