Amerika pun tak kebal politik patriotismanya?

SUBKY LATIF | .

KEMENANGAN Donald Trump dalam pilihan raya Presiden Amerika 8 November, 2016 lalu diragui ketulenannya oleh sebahagian masyarakat Amerika sendiri.
      
Dikatakan kemenangan besarnya adalah atas bantuan Rusia atau ia ditembusi oleh campur tangan asing.
     
Bukan sekadar pembangkang Parti Demokrat mentakwil kesahihan kemenangan Donald Trump dari Parti Republikan itu, bahkan CIA, pusat risik Amerika terhandal di dunia ikut percaya kemungkinan itu.
     
Justeru pengumuman rasmi Donald Trump sebagai Presiden Amerika ke-45 ditangguh hingga lebih sebulan selepas kemenangannya. Awal minggu ketiga Disember baru dapat disahkan dia pengganti Presiden Obama pada 20 Januari nanti setelah ia meraih 270 Electoral College, undi yang diperlukan sebagai pemenang pilihan raya itu.
     
Itupun tetap dibantah oleh Demokrat. Sekalipun bantahan itu tidak lagi dapat menghalang Donald Trump menjadi Presdien baru, tetapi tetap terpalit dalam sejarah politik Amerika, pilihannya dapat ditembusi campur tangan asing.
    
Biasanya negara-negara undur dan tempang demokrasi politiknya dapat ditembusi oleh catur campur tangan kuasa asing khususnya kuasa-kuasa besar seperti Amerika, Eropah dan Rusia.    Amerikalah sejak semasa perang dingin sengaja menyibuk dalam politik domestik negara lain.
      
CIAlah jadi perkakas memperdaya politik negara asing yang tidak sempurna patriotisma dan nasionalismanya bagi memastikannya menjadi talibarut Amerika. Paling akhir di bawah pentadbiran Obama ia mencabar percubaan pro demokrasi di Mesir dengan talibarutnya mengguling kerajaan pilihan raya pertama dan membantu bonekanya memenangi semula politik Mesir.
     
Kemudian semua percaya CIAnya mencatur melemahkan politik Erdogan di Turki termasuk cubaan rampas kuasa yang gagal baru-baru ini. Sekarang Turki acap diletup di sana sini termasuk pembunuhan Duta Rusia di Turki.
     
Amerika mudah berbuat demikian ialah kebanyakan negara mundur dan kecil tidak mampu mewujudkan politik patriotisma, bahkan kuasa politik mereka ditegakkan oleh pak tiri CIAnya atau pak tiri Rusianya seperti yang berlaku di Ukraine sekarang.
      
Amerika boleh berbuat begitu kerana politiknya wujud sebagai bangsa patriotik yang menegakkan revolusi kemeerdekaannya dari Britain  lebih 200 tahun lalu. Selama kewujudannya Amerika itu terkenal sebagai bangsa berdaulat, bebas, patriotik, nasionalistik yang tinggi, tidak dapat diusik dan ditembus oleh pengaruh asing.
     
Begitu kuat komunis dan Soviet Union untuk menggugat kedaulatan Amerika, ia cukup kebal. Orangnya tidak lut oleh percubaan luar untuk melemahkan pengaruhnya. Terkenal Amerika sebagai bangsa perkasa yang tidak dapat ditembusi orang. CIA dan FBInya sentiasa siap siaga bagi mematahkan percubaan mengganggu politiknya melalui mata angin mana sekalipun.
      
Tetapi macam mana bangsa yang tinggi patriotiknya itu boleh ditembusi campur tangan Rusia dalam pilihan raya terpenting menentukan keperkasaan kedaulatannya.
     
CIAnya boleh menembusi politik mana-mana negara asal saja angin boleh masuk ke negara itu. Tetapi CIAnya tidak sedar tembok kebalnya dapat dihembus serapah jampi Rusia.
     
Semua di dunia tidak menduga Donald Trump boleh menang besar dalam pilihan raya Presiden itu. Dia dikira calon Presiden yang amat lemah. Tetapi dia boleh menang besar hingga CIA nampak macam badan risik yang lumpuh.
     
Jika benar yang memenangkan si Trump itu atas serapah jampi Rusia, maka sesungguhnya nasionalisma Amerika itu tidaklah sekebal mana. Ia juga boleh ditembusi. Presiden kali ini tidaklah pilihan sebenar bangsanya tetapi pilihan Rusia? - HARAKAHDAILY 29/12/2016

Share on Myspace