Tiada PAS Selangor serba salah

SUBKY LATIF | .

TELAHAN nujum politik PAS Selangor kini dalam serba salah berikutan keputusan PAS memutuskan tahaluf siyasinya dengan DAP dan tidak menyertai pakatan pembangkang yang di dalamnya ada DAP dan parti yang dibentuk Mohamad Sabu.
     
Dengan keadaan demikian PAS akan bersendirian dalam PRU yang akan datang. Keberadaannya dalam Pakatan  Rakyat dengan PKR dalam di Selangor juga mungkin tamat tempoh bila DUN Selangor dibubarkan.
      
Kemungkinan ini ada pandangan para nujum politik. Apabila PAS bersendirian ertinya tiada pertandingan dua penjuru bukan saja di Selangor bahkan di seluruh negara.
     
Natijah bertanding tiga penjuru, maka harapan PAS untuk menjadi kerajaan atau sebahagian dari kerajaan di Selangor adalah tipis. Keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pertengahan tahun 2016 adalah bukti gelapnya PAS di Selangor.
      
Inilah yang dikatakan PAS Selangor itu serba salah. Jika PAS Selangor akur dengan pendirian PAS tidak bersedia bersama pembangkang yang ada DAP dan parti Mat Sabu, ia nescaya tiada lagi dalam kerajaan yang ditubuhkan selepas PRU nanti sedang ia masih mahu bersama dalam kerajaan bersama PKR dan Bersatu.
       
Ia menggambarkan PAS Selangor tidak sepenuh hati menerima dasar PAS kerana harapan politiknya amat kabur. PAS Selangor diandaikan cenderung untuk bersama pakatan pembangkang sedia ada kerana ia punyai harapan yang lebih cerah.
      
Adakah sebenarnya PAS Selangor serba salah dengan dasar dan strategi PAS dalam menghadapi PRU nanti dan menangani politik masa depan parti itu?
     
PAS Selangor adalah sebahagian dari PAS, maka  tidak berbangkit ia jadi kumpulan minoriti dalam parti itu. Orang yang serba salah dengan PAS sudah 99 peratus memisahkan diri dari PAS. Mereka sudah jadi sebahagian dari pakatan pembangkang. Tinggal satu peratus lagi tidak meninggalkan PAS tetapi menjarakkan diri dengan PAS. Yang ini benar serba salah.
      
Tetapi PAS tidak serba salah dengan perkembangan yang ada. PAS Selangor adalah PAS dan ia tetapi tegang dan tumbang bersama PAS.
      
Bila PAS memutuskan tidak lagi bertahaluf dengan DAP, maka PAS telah memperhitung segala kemungkinan dan kepayahan kesan tindakannya. Termasuklah tindakan keluar parti oleh setengah. Jika orang dalam parti pun cabut, maka yanag di luar akan beralih sikap.
      
Meskipun kesannya sudah diduga, tetapi sebagai parti yang ada perjuangan dan prinsip, tidak akan membiarkan perjuangan partinya hanyut dan dikhianati. Setelah menyedari ia mendapati penyertaannya merugikan perjuangan parti bersama pakatan pembangkang, maka ia nekad keluar kembali kepada perjuangan asalnya sekalipun berdepan dengan beberapa kecederaan.
      
Orang-orangnya yang meninggalkannya adalah kecederaan.  Tewas di PRK Sungai Besar juga kecederaan. Setelah membebaskan diri dari serba salah dalam Pakatan dulu, ia kini bebas merancang masa depannya sendiri.
      
Jika ia tidak menjadi sebahagian dari formula satu lawan satu, ia senang merancang apa yang ia mahu. Mungkin satu lawan satu dikira lebih logik dari banyak penjuru, tetapi PRK Teluk Intan tidak menjamin formula satu menang. Jika PAS kalah di Sungai Besar dalam tiga penjuru, ia  pernah kalah di situ dalam dua penjuru dalam PRU13.
      
DAP sentiasa menang di Teluk Intan. Tetapi ia kalah dalam PRK. Maka formula satu ada munasabahnya tetapi tak boleh dipercayai sangat.
      
PAS Selangor seperti PAS seluruhnya tahu dan sedia apa dibuatnya. Yang serba salah ialah semua parti di Selangor kerana ketiadaan PAS. - HARAKAHDAILY 1/1/2017

Share on Myspace