Pengeluar vape, jangan peras ugut PM!

SUBKY LATIF | .

SAYA tertonton satu siaran perbincangan di TV Bernama betapa ketua sebuah persatuan peniaga bumiputera meluahkan rasa ama dukacitanya kepada kerajaan yang menggantung perniagaan dan pengeluaran vape – rokok eletronik yang dimonopoli oleh peniaga bumiputera.
       
Umumnya perniagaan vape adalah amat berpotensi bagi peniaganya maju dan menjadi peniaga yang berjaya dalam  bidang itu.
      
Kononnya tiada bidang perniagaan dalam negara kita melainkan dibolot oleh peniaga bukan bumiputera.  Semua amat payah ditembusi oleh peniaga bumiputera.
       
Alat itu asalnya dikatakan diperkenalkan oleh Tanah Besar China dan kemudian oleh Negara Barat. Tetapi peniaga bumiputera mengambil peluang untuk mengeluarkan vape sendiri hingga pasarannya mendapat sambutan besar di luar negara hingga mengatasi pengeluaran negara lain.
       
Dalam waktu yang singkat ia tumbuh sebagai perniagaan yang dikuasai oleh bumiputera.
        
Apabila kerajaan menggantung pengeluaran dan pengedarannya, bungkuslah saudagar-saudagar vape. Tidak jadi saudagar dan orang kaya lagi.
       
Maka persatuan peniaga bumiputera mengira tindakan itu menzalimi peniaga bumiputera. Ia seolah-olah satu-satunya bidang yang diterokai dan dikuasai oleh bumiputera, lalu tindakan dikira menindas bumiputera.
        
Wakil persatuan yang membela mereka membantah dan sedang mengenakan tekanan kepada Perdana Menteri supaya menarik sekatan itu. Poin besar mereka, jika kerajaan tidak halalkan perniagaan itu, Perdana Menteri dan kerajan BN akan hilang sejuta pengundi dalam PRU nanti.
      
Mereka kata mereka sokong dan sayangkan Perdana Menteri dan kerajaan yang ada, dan jika tuntutan iu tidak ditunaikan, akan tumbanglah Perdana Menteri dan kerajaan yang mereka kasihi. Mereka tidak mahu ia berlaku, maka PM mesti penuhi tuntutan itu.
      
Tuntutan itu boleh dilihat sebagai kata dua atau peras ugut kepada Perdana Menteri. Apakah Perdana Menteri boleh mereka tundukan? Dan apakah kerana menyekat vape, Perdana Menteri boleh dijatuhkan.
        
Jika PM Najib nak tumbang, tumbanglah atas segala kelemahannya yang amat ketara sekarang, tetapi bukan kerana larangan atas vape.
       
Antara panelis perbincangan di TV itu tidak menolak perangai menghisap vape ada negatif dan terdedah kepada salah guna dan kepada kanak-kanak. Tiada kebaikannya selain daripada dikuasai oleh  bumiputera.
        
Tidak seperti dadah. Ada kebaikannya dalam ubat-ubatan. Justeru salah guna memberi banyak keburukan, maka perniagaan dadah diharamkan. Arak ada kebaikan, justeru buruk lebih banyak daripada kebaikan, maka ia haram. Hanya anak haram tidak mengharamkannya. Vape tiada apa baiknya.
       
Tetapi pembela vape langsung tidak memberikan hujah yan meyakinkan vape patut dihalalkan. Sepanjang yang didengar tindakan itu menindas peniaga bumiputera. Kerana itu saja bidang yang bumiputera boleh kuasai, maka apa jua kesannya ia mesti dihalalkan.
        
Adakah kerana ia peniagaan yang senang kepada bumiputera, maka usah pedulikan segala keburukannya?
       
Pada peringkat ini tidaklah penagihnya mabuk dan jadi bangkai bernyawa. Tetapi amalan itu yang diselubungi asap berkepul dilihat tidak berakhlak. Jika seorang penghisap mengeluarkan asap yang gelap, bagaimana jika halal dihisap oleh beramai-ramai, mengalah ia dari jerebu.
      
Mungkin nyamuk aedes dan nyamuk zika musnah olehnya, tetapi orang pun boleh sesak nafas dengannya.
       
Ketika umat berperang dengan keruntukan akhlak, jangan jadikan gejala keruntuhan akhlak ditambah lagi.
        
Dan janganlah tambah peras ugut kepada Perdana Menteri dan janganlah pula melesen vape dijadikan penyelamat kepada politik Perdana Menteri itu.
      
Jika ia industri yang dikuasai bumiputera, apa jaminan Cina dan India tidak boleh pecah monopoli dan menguasainya? – HARAKAHDAILY 3/1/2017

Share on Myspace