Politik bukan alasan resort Jamal tak diroboh

SUBKY LATIF | .

SEORANG yang bergelar Dato di Sekincan bernama Jamal Yunus memfailkan saman kepada kerajaan Selangor kerana resortnya diroboh.
      
Alasan saman dibuat kerana tindakan meroboh resortnya dikatakan bertujuan politik.
       
Kata dato itu, dia ada menunjuk rasa di pejabat Menteri Besar. Justeru itulah dikatakan resortnya diroboh.
        
Sekalipun benar yang mendorongkan resortnya diroboh kerana untuk rasa politiknya di pejabat Menteri Besar, adakah mahkamah akan menghakimi kerana tindakan atas resortnya atas sebab politik?
       
Jarang kita dengar mahkamah menerima atau menolak sesuatu kes yang dikatakan bermotif politik. Melainkan dihakimi mengikut merit kes yang dikemukakan itu.
      
Mahkamah akan tengok kuat atau lemah alasan resort itu diroboh. Dato Jamal kena kemukakan alasan yang kuat mengapa resortnya tidak boleh diroboh, bukan alasan ia diroboh kerana politik.
      
Kta sudah banyak mendengar kes yang berbau politik tidak menjadi sebab mahkamah menolaknya.
       
Ada tiga kes yang masyhur. Pertama tuduhan rasuah ke atas Menteri Besar Selangor Dato Harun Idris semasa dia menjadi Ketua Pemuda UMNO. Pemuda UMNO bulat masa itu mengatakan tindakan Perdana Menteri Tun Razak dan disambung oleh Perdana Menteri Tun Hussein adalah politik. Ia disokong oleh ramai pemimpin UMNO termasuk Tan Sri  Syed Jaafar Albar. Malah Tunku Abdul Rahman mengira kes itu tidak wajar didakwa.
      
Tun Razak dan Tun Hussein tidak menghiraukan tohmah politik ke atas mereka untuk membatalkan kes itu. Dakwaan diteruskan dan mahkamah tidak ambil kira alasan yang dikatakan politik itu. Yang hakim peduli Dato Harun rasuah atau tidak.
     
Kes kedua Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim lagi ditribunal untuk dipecat. Pendapat umum mengira tindakan Perdana Menetri Mahaathir mentribunal itu kerana politik. Mahathir tidak indahkan alasan ia dikatakan politik. Diangkatnya hakim luar negara  antara yang menghakimi tribunal itu. Tidak dipeduli langsung isu politik atas kes itu. Mereka dipecat.
     
Paling dramatik  kes liwat DS Anwar Ibrahim. Semua kata ia kes konspirasi politik. Sedunia orang sangka begitu.  Dua kali dipenjara atas tuduhan serupa. Hakim tidak mengambil kira angkara politik dalam kesnya.
      
Maka sekarang Dato Jamil tampil membela resortnya yang dikatakan sebagai kes politik. Setakat ini belum diketahui mahkamah peduli alasan yang dikatakan itu. Jamal kena buktikan dia telah memenuhi semua syarat yang dikehendaki.
       
Ada pun premis judi dan lain-lain yang dikatakannya tidak diambil tindakan tidak menjadi sebab dia tidak dikenakan tindakan.
       
Ada pesalah trafik dihadapkan ke mahkamah kerana memandu laju. Dia mengaku tidak salah kerana ramai pemandu laju lain tidak didakwa. Mahkamah kata, ia tidak membicarakan kes lain masa itu. Ia membicarakan kesnya saja. Mahkamah mendapati dia bersalah.
       
Adapun pemandu laju lain tidak didakwa, nasibnyalah. Alasan itu tidak menyebabkan kesnya dibebaskan.
       
Maka tuan punya resort Sekincan kena buktikan ia tidak salah. Kesalahan orang lain tidak menjadi sebab resortnya tidak boleh dikenakan tindakan. Saya tidak kata Jamal salah tetapi politik tidak membantu kes seseorang tidak dikenakan tindakan. - HARAKAHDAILY 5/1/2017

Share on Myspace