Tahniah Shahrir, Pengerusi Felda

SUBKY LATIF | .

TAHNIAH buat Felda beroleh pengerusi baru dan terlepas daripada cengkaman pengerusinya yang dipertikai banyak oleh masyarakat Felda, Tan Sri Isa Samad.
       
Dan tahniah juga buat Tan Sri Shahrir Samad kerana menggantikan Tan Sri Isa Samad. Sekalipun yang datang dan yang pergi itu berkongsi satu bin iaitu Abdul Samad tetapi mereka bukan sama sebapa.
        
Mungkin bukan pemilihan pengerusi itu berbinkan Samad  justeru PM Najib sebagai Raja Felda suka dan terasa ada keramatnya orang yang berbin Samad. Tentu kebetulan bin mereka sama.
       
Macam-macam cerita yang didengar tentang pengerusi yang pergi itu dipertikai oleh banyak pihak dan sejak datang ke situ masyarakat dan warga Felda tidak pernah senang tidur. Apa akan jadi masa depan mereka dan nasib rancangan tanah itu yang dicagarkan pada bursa yang boleh dibida oleh orang sedunia?
        
Tidak pernah pimpinan Felda itu dipertikai begitu, baik ia di bawah Tun Musa Hitam semasa Tun Razak dulu dan di bawah pengerusi Tan Sri Taib Andak yang mengukir nama baik di situ.
        
Seolah-olah kedatangan Tan Sri Shahrir melepaskan belenggu kebimbangan kepada Felda dan warga Felda dia dikira membawa harapan baru kepada Felda seperti harapan rakyat semasa mencapai kemerdekaan daripada penjajah dulu.
        
Selain daripada Shahrir ini anak didik Tun Musa Hitam yang orang rasa dia membawa legasi bekas TPM Musa itu, dia juga rasanya ada hubungan darah dengan Tan Sri Taib Andak. Memang Tan Sri Taib ada legasi besar pada Felda.
      
Taib Andak mungkin menempah nama dan khidmat yang baik disebabkan Felda pada masanya ibarat hutan dara yang tidak disentuh oleh sesiapa, bebas daripada sebarang masalah. Dan Felda tidak ada Raja seperti ia berajakan Najib sejak beberapa dekad  belakang ini.
        
Tetapi sekarang Shahrir tampil ketika Felda banyak lubang dan ia berada di bawah Rajanya dan rajanya itu bukan raja berperlembagaan, bahkan Raja mutlak atas Felda. Raja di negeri-negeri pun tidak semutlak  Najib di Felda.
        
Shahrir yang membawa imej sebagai kertas salinan Musa dan waris terdekat Taib Andak dipercayai mendatangkan keselesaan kepada koloni Felda yang kebimbangan itu. Kedatangan Shahrir tidaklah sesenang kedatangan Taib Andak. Taib Andak tidak ke tanah yang berlubang-lubang. Shahrir tiba dengan lubang lebih luas daripada tanah rata.
        
Shahrir mewarisi satu koloni yang susah diwarisi. Mungkin Felda tidak sengeri masalah yang ada pada 1MDB. Dengan segala beban dan belenggu pada 1MDB, siapa yang dapat menampungnya ditakdirkan ditinggalkan Najib nanti. Bukan saja Najib buntu menghadapinya, datangkan malaikat untuk membaikinya, pun malaikat lari malam.
       
Felda adalah ibarat alif ba ta bagi 1MDB. Dengan lubang-lubang besar yang diwarisinya, Shahrir berdepan dengan satu cabaran yang besar.  Dia memerlu masa dan sokongan daripada semua masuk ke situ.
      
Bukanlah semua belenggu tidak dapat diselesaikan. Shahrir sekalipun berdepan banyak cabaran, jika beroleh kebebasan penuh, tidak dikacau oleh mana-mana raja ciptaan, jikapun dalam baki usianya tidak dapat menampung sepenuhnya beban yang ada, tetapi  atas bantuan semua mungkin dapat mengatasi sebahagian daripadanya.
       
Shahrir ada satu sikap. Apabila dia rasa tidak disenangi, dia boleh tinggal amanah yang diberikan kepadanya. Minta jangan banyak takwil atas pimpinannya, dia akan tekun tunaikan kerjanya. – HARAKAHDAILY 9/1/2017

Share on Myspace