Masyarakat perlu peka isu ramai remaja hamil luar nikah

FATIN NABILAH AZLAN | .

PKPIM menzahirkan kebimbangan berkenaan statistik kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah yang semakin meningkat saban tahun. Kebimbangan ini berasas sebagaimana dilaporkan media massa, bahawa hampir setengah juta anak tidak sah taraf telah didaftarkan dalam tempoh 2005-2015.

Secara purata, boleh disimpulkan sebanyak hampir 4,435 anak luar nikah dilahirkan setiap tahun dalam tempoh tersebut. Menurut harian Metro, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, dipetik menyatakan dalam tempoh yang sama, sebanyak 526 kes pembuangan bayi telah direkodkan Polis Diraja Malaysia.

Realiti dunia masa kini, golongan remaja dan belia khususnya wanita tidak terlepas daripada belenggu hedonisme dan hiburan yang tidak terkawal. PKPIM menyarankan agar pihak berkuasa dapat memantau program hiburan dengan menetapkan garis panduan yang lebih ketat bagi mengelakkan pergaulan yang terlampau bebas antara lelaki dan perempuan dalam setiap acara yang dijalankan.

PKPIM juga melihat lambakan drama dan filem berunsur percintaan berserta adegan yang tidak sepatutnya di layar televisyen mampu mempengaruhi pemikiran remaja dan turut menyumbang keterlibatan remaja dalam perkara yang dapat menjurus kepada hubungan sebelum berkahwin.

Kerajaan melalui Lembaga Penapisan Filem diseru agar lebih tegas dalam menapis kandungan filem yang ingin ditayangkan tanpa mengenepikan realiti masyarakat timur yang terkenal dengan tatasusila dan batas pergaulan yang sosial. Pengusaha industri filem pula diseru agar tidak terlampau obses mengejar keuntungan hingga mengenepikan nilai moral dan etika kemasyarakatan dalam pembikinan filem.

PKPIM tidak menunding jari pada hanya satu pihak dan melihat isu ini dalam konteks yang sempit sebaliknya berpandangan bahawa penekanan pada isu ini perlu diberi perhatian dari semua pihak. Kami menyeru agar masyarakat dapat memainkan peranan yang sewajarnya dengan tidak mudah menghukum remaja yang terjebak dalam masalah ini sebaliknya membantu memberikan sokongan dan dorongan kepada remaja terlibat agar dapat membina kehidupan baru yang lebih baik.

Ibu bapa diseru memainkan peranan utama dalam mencegah hal ini daripada berlaku. Keperluan menjaga kesejahteraan institusi kekeluargaan adalah sebahagian daripada maqasid syariah terangkup dalam aspek  “hifz an-nasb” (pemeliharaan keturunan) sebagaimana diungkap ibnu Ashur, tokoh maqasid terkenal.

Justeru, PKPIM menggesa usaha pengukuhan institusi kekeluargaan yang holistik di mana ibu bapa dapat memainkan peranan yang komprehensif bagi menyantuni keperluan remaja dalam aspek sosial, ekonomi dan selaras dengan Dasar Keluarga Negara bagi menangani peningkatan drastik isu kelahiran luar nikah ini.

Pada peringkat PKPIM, melalui Majlis Hal Ehwal Siswi (HEWI), telah mengggerakkan program berbentuk pendidikan keremajaan melalui modul RES-Q sebagai bukti komitmen kami bagi membantu meningkatkan sahsiah dalam kalangan remaja. RES-Q (Remaja Sahsiah Berkualiti ) menyasarkan aspek  mempertahankan maruah remaja dengan mengangkat tema karamah insaniah sebagai “core-business”  agar dapat memupuk kesedaran kepada para remaja dan beliawanis untuk lebih menyayangi dan menghargai izzah mereka.

Akhir sekali, PKPIM menyatakan kesediaan pihak kami bagi berdialog dengan  pihak berwajib seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam membahas permasalahan ini bagi mendapatkan solusi yang tuntas di samping merangka pelan strategik berkesan bagi mengurangkan masalah ini.

FATIN NABILAH AZLAN,
Naib Presiden,
Hal Ehwal Sisiwi (HEWI),
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia – HARAKAHDAILY 17/11/2016

Share on Myspace