Selamatkan Sungai Tuang dari ancaman najis babi

SM MOHAMED IDRIS | .

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Melaka memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan Sungai Tuang daerah Alor Gajah di sini dari terus diancam pencemaran najis babi.
 
Mengulas laporan akhbar tempatan (BH:21.11.16) baru-baru ini, SAM kesal walau pun masalah itu sudah berlarutan lebih 10 tahun yang lalu dan kini semakin serius menjejaskan alam sekitar serta kehidupan penduduk di kawasan tersebut tetapi tidak ada tindakan bagi mengatasinya diambil oleh pihak berkenaan.

Najis babi itu dibuang dari ladang ternakan di Paya Mengkuang ke dalam Sungai Tuang menyebabkan airnya bertukar warna menjadi hitam pekat dan berbau busuk. Kira-kira 1,000 penduduk di Pengkalan Balak di sini terjejas kehidupan mereka kerana sepanjang masa terpaksa menyedut udara yang tercemar ini.
 
Sehubungan itu SAM berharap pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menjalankan siasatan terhadap punca berlakunya kejadian ini.

SAM percaya ia dibiarkan bukan saja alam sekitar di kawasan itu akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang malah pencemaran najis babi ini juga boleh mencetuskan wabak Japanese Encephalitis (JE) yang boleh meragut nyawa manusia.
 
SAM mencadangkan supaya kerajaan negeri, jabatan yang terlibat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengkaji terlebih dahulu kesesuaian lokasi serta jumlah ternakan sebelum ia diluluskan terutama sekali berkaitan kesan ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan tempatan.

Pihak berkenaan juga perlu membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan segala peraturan di bawah undang-undang berkaitan perkara ini dipatuhi oleh penternak-penternak yang terlibat di samping mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melanggarnya.
 
Selain hukuman lebih berat dikenakan ke atas penternak yang di dapati bersalah melanggar akta berkenaan, permit mereka juga perlu dibatalkan dan aktiviti ternakan hendaklah dihentikan.

SAM meminta kerajaan Melaka mendedahkan hasil kajian masalah pencemaran najis babi ini dan tahap kualiti air Sungai Tuang kepada umum dari masa ke semasa dan langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi mengatasi masalah itu.
 
SAM bimbang Sungai Tuang akan mati dan tidak lagi berfungsi pada masa akan datang, dan wabak JE yang pernah melanda Bukit Pelandok di Negeri Sembilan berulang di Pengkalan Balak Melaka suatu ketika nanti. - HARAKAHDAILY 5/12/2016
 
Penulis ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.

Share on Myspace