500 penduduk Kuala Kedah guna jalan rosak

. | .

Lebih kurang 500 penduduk di Kampung Sematang Tepi Laut dan Kampung Tengku Laksamana Kuala Kedah, Kedah menghadapi berbagai masalah kerana jalan di kampung mereka rosak teruk.
 
Keadaan jalan ini bukan saja menjejaskan keselesaan mereka tetapi juga boleh mengancam keselamatan penduduk-penduduk kampung tersebut jika tidak tidak dibaiki segera.
 
Tinjauan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati jalan sepanjang 3km di kawasan itu telah pecah permukaannya dan berlopak serta becak pada musim hujan.
 
Keadaan ini bukan saja menjejaskan aktiviti harian para nelayan di kampung terbabit tetapi juga kanak-kanak yang berulang alik ke sekolah.
 
Masalah yang berlaku sejak 10 tahun yang lalu itu telah dimaklumkan oleh penduduk di sini kepada pihak berkenaan tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil.
 
Sehubungan itu CAP menggesa kerajaan Kedah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyiasat jalan rosak di kedua-dua kampung ini dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.
 
CAP kesal walau pun masalah ini sudah lama berlaku dan di hadapi oleh penduduk-penduduk kampung tersebut tetapi hingga sekarang masih belum mendapat perhatian dari pihak yang bertanggungjawab.
 
Justeru itu CAP meminta kerajaan negeri dan PBT menyiasat masalah ini dengan segera kerana dibimbangi berlaku kejadian yang tidak di ingini menimpa penduduk-penduduk kampung berkenaan.
 
Kemudahan asas ini perlu dibina dengan sempurna dan selamat untuk digunakan oleh penduduk-penduduk di sini. CAP mendapat tahu banyak kampung di kawasan luar bandar di negeri ini tidak mempunyai kemudahan jalan yang sempurna dan selesa.
 
CAP meminta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah campurtangan mengenai masalah ini agar penduduk-penduduk di pedalaman dapat menikmati kemudahan tersebut pada masa akan datang.

SM MOHAMED IDRIS
Presiden CAP

Share on Myspace