Kesal hutan paya bakau di Pulau Pinang terus dimusnah

SM MOHAMED IDRIS | .

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal bahawa hutan paya bakau di negeri Pulau Pinang masih dimusnahkan walaupun banyak bantahan dibuat oleh orang ramai terutama golongan nelayan yang semakin terhimpit kehidupan mereka berikutan kepesatan pelaksanaan projek pembangunan yang berlaku.
 
Dalam kejadian terbaru seluas 9.38 hektar kawasan hutan paya bakau di Bagan Jermal negeri ini telah dimusnahkan bagi memberi laluan kepada projek tambak laut di kawasan berkenaan. Tindakan ini jelas menunjukkan kerajaan Pulau Pinang tidak begitu serius dalam penjagaan alam sekitar dan kehidupan rakyat khususnya nelayan di negeri ini.
 
Mengulas laporan akhbar tempatan (Utusan Malaysia: 10 Februari 2017) berhubung gesaan Persatuan Nelayan Tanjung Tokong supaya kerajaan negeri menjelaskan perkara tersebut kerana bimbang kesan buruk yang bakal dihadapi mereka pada masa akan datang, CAP berpendapat sepatutnya hutan paya bakau di sini telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal (HSK) kerana khazanah alam semulajadi itu kini sedang diancam kepupusan.
 
Tinjauan CAP mendapati beratus hektar kawasan hutan paya bakau di negeri Pulau Pinang telah dimusnahkan bagi tujuan pelaksanaan projek pembangunan dan akuakultur dan beribu-ribu nelayan yang bergantung hidup kepada sektor perikanan di negeri ini terjejas mata pencarian mereka kerana tempat pembiakan hidupan laut musnah dan kawasan pesisiran pantai semula jadi semakin lenyap kerana pembangunan serta diancam pencemaran.
 
CAP berharap tindakan segera akan diambil oleh pemaju projek untuk menanam semula pokok bakau di kawasan yang telah ditebang demi mengekalkan alam semula jadi dan sumber perikanan untuk kehidupan masyarakat nelayan serta generasi akan datang.
 
Projek tambak laut untuk pembangunan Seri Tanjung Pinang 2 telah dan akan membawa banyak masalah kepada nelayan tempatan dan kawasan penangkapan ikan akan turut lenyap. Kini hutan bakau yang menjadi kawasan pembiakan hidupan laut pula dimusnahkan dan selanjutnya kehidupan nelayan di negeri ini akan bertambah serius.
 
Apakah matlamat sebenar kerajaan negeri, adakah mahu membela nasib nelayan pantai atau pun melenyapkan generasi mereka semata-mata untuk pembangunan? - HARAKAHDAILY 11/2/2017
 
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Share on Myspace