Setiap amalan berdasarkan niat

http://ulamasedunia.org/ | .

SIRI PERKONGSIAN HADIS

HADIS PERTAMA (1)

Setiap Amalan Itu Berdasarkan Niat

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ: إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.

[رواه إماما المحدثين أبو عبد الله محمد بن إسماعيل بن إبراهيم بن المغيرة بن بردزبة البخاري وأبو الحسين مسلم بن الحجاج بن مسلم القشيري النيسابوري في صحيحيهما اللذين هما أصح الكتب المصنفة]


[A] MAKSUD HADIS

Dari Amirul Mukminin, Abi Hafs Umar bin Al-Khattab RA dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.”
(Diriwayatkan hadis ini oleh dua orang Imam Hadis, Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Bukhari dan Abu Al-Husain, Muslim bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qusyairi An-Naisaburi di dalam dua kitab sahih, yang merupakan kitab yang paling sahih yang pernah dikarang).

[B] KEDUDUKAN HADIS

Hadis ini termasuk salah satu hadis penting dan pokok agama yang sebahagian besar hukum-hukum syarak bermula padanya.

Hal ini dijelaskan oleh para ulamak seperti, Imam Bukhari di dalam kitab Sahih Bukhari beliau sendiri, pada bahagian awal.

Imam Muslim juga meletakkan hadis ini di dalam kitab Sahih Muslim sebagai yang sahih, bernombor 1907.

Begitu juga dengan Imam Nawawi yang mendahulukan bab niat di dalam tiga kitab karangnya seperti Riyadhus Salihin, Al-Adzkar dan Al-Arba’in An-Nawawiyah.

Manfaat hal ini, adalah sebagai peringatan bagi pemburu ilmu agar sentiasa membetulkan niat bagi memperolehi redha Allah SWT ketika menuntut ilmu dan melakukan perkara kebajikan.

[C] LATAR BELAKANG HADIS

Imam At-Tabrani meriwayatkan di dalam kitabnya, Al-Mu’jam Al-Kabir dengan sanad yang perawinya adalah dipercayai, dari Ibnu Mas’ud RA, ia berkata; “Dahulu di antara kami ada seorang lelaki yang meminang wanita bernama Ummu Qais. Namun, Ummu Qais enggan menikah lelaki tersebut hingga ia hijrah. Lelaki itu pun berhijrah dan berhasil menikahi Ummu Qais. Lelaki itu pun kami gelar dengan panggilan Muhajir Ummu Qais (orang yang berhijrah kerana Ummu Qais).”

*merujuk kepada Al-Futuhat Ar-Rabbaniyah karya Ibnu ‘Allan.

[D] FIQHUL HADIS

Para ulamak bersepakat bahawa segala amal perbuatan yang dilakukan oleh orang Islam tidak akan mendapat pahala, kecuali dengan niat. Dalam ibadah wajib seperti solat, haji dan puasa, niat merupakan salah satu rukunnya sehingga ibadah tersebut tidak sah jika tanpa niat.

Menurut ulamak mazhab Syafie dan lainnya, niat juga merupakan syarat sah bagi melaksanakan ibadah wajib seperti solat, puasa, wuduk, mandi dan lain-lain ibadah yang tertentu.

[D] PENGAJARAN HADIS

Sesiapa yang berniat bagi melakukam amal soleh, tetapi tidak boleh melakukannya kerana ada keuzuran yang mendesak, baik sakit mahupun meninggal dunia, maka ia tetap mendapat pahala.

Al-Baidhawi berkata; “Segala amal perbuatan tidak sah, kecuali dengan niat, kerana niat tanpa mendapatkan pahala, sedangkan amal tanpa niat peroleh redha Allah adalah perkara sia-sia.”

Perumpamaan niat dalam amal seperti roh dalam jasad. Tidak ada kehidupan bagi jasad yang tidak memiliki roh. Begitu pun roh, tidak akan kelihatan jika tidak menyatu dengan jasad.

Hadis ini jelas membimbing kita untuk menjadi seorang yang ikhlas dalam beramal, agar mendapat pahala di akhirat serta memperolehi kesenangan di dunia dan akhirat. Setiap amal yang baik dan bermanfaat jika disertai dengan keikhlasan, niat dan hanya mengharap redha Allah, maka hal itulah dinilai sebagai ibadah.

Disediakan oleh, Mohamad Zulkifli.

SUMBER RUJUKAN:

Kitab Al-Wafi, Syarah Hadis Arba’in Imam An-Nawawi, karangan Dr Mustafa Dieb Al-Bugho dan Dr Muhyiddin Mistu.

02 Januari 2017 M
03 Rabi’ul Akhir 1438 H (ulamasedunia.org)

Share on Myspace