Gugur kandungan kerana masalah ekonomi

http://www.muftiwp.gov.my | .

AL-KAFI LI AL-FATAWI KE- 525: GUGUR KANDUNGAN KERANA MASALAH EKONOMI
Ditulis oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad    
Diterbitkan: 10 Februari 2017

Soalan: Adakah haram hukumnya menggugurkan kandungan saya yang berusia 4 minggu kerana suami tidak bersedia, tetapi saya mahukan anak ini.

Jawapan:

Dalam menjawab persoalan ini, kami dengan tegasnya menyatakan haram menggugurkan kandungan dengan sebab masalah ekonomi samada kandungan yang masih baru atau melebihi 4 bulan. Allah SWT menyebut dalam al-Qur’an:

وَلا تَقْتُلُوا أَوْلادَكُمْ مِنْ إِمْلاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ

Maksudnya: “dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.
(Surah al-An’am: 151)

Firman Allah SWT:

وَلا تَقْتُلُوا أَوْلادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.
(Surah al-Isra’: 31)

Al-Imlak dengan makna kefakiran. Telah menjadi adat orang jahiliyyah, mereka membunuh anak-anak perempuan mereka dan kadang-kadang anak-anak lelaki mereka semata-mata kerana takut ditimpa kefakiran sebagaimana diwaswaskan oleh syaitan. Dua ayat di atas memberi maksud samada adanya kefakiran atau dibimbangi kefakiran menimpa mereka pada masa akan datang. Justeru, Allah melarang dalam dua keadaan.

Ayat yang pertama dari surah al-An’am memberi maksud “Jangan kamu bunuh anak-anak kamu dengan sebab kefakiran yang berlaku dan terhasil kepadamu kerana Allah memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka (yakni zuriat kamu)". Dengan sebab itu, Ibn Kathir menukilan pendapat Ibn Abbas, Qatadah dan al-Suddi dengan makna fakir iaitu jangan kamu bunuh mereka kerana kefakiran kamu yang terhasil itu. Kerana itulah Allah memulakan dengan “Kami memberi rezeki kepada kamu" kerana prihatin dengan mereka dan mereka adalah yang utama di sini.

Sedangkan ayat yang kedua pula dengan maksud “Jangan kamu membunuh anak-anak kamu kerana merasa bimbang dan takut kamu akan menjadi fakir atau anak-anak kamu akan menjadi fakir selepas kamu." Makanya Allah yang memberi rezeki kepada mereka dan juga kepada kamu.” Sedangkan ayat ini dimulakan dengan rezeki anak-anak yakni Kamilah yang memberikan rezeki kepada mereka dan kamu dengan maksud boleh jadi ibu bapa kaya tetapi mereka takut kefakiran akan menimpa mereka satu hari nanti. Justeru, dimulakan dengan rezeki anak-anak sebelum dinyatakan rezeki ibu bapa.

Kami mengukuhkan lagi jawapan ini dengan sebuah hadith Nabi SAW,

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمَاً نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنفُخُ فِيْهِ الرٌّوْحَ، وَيَؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَالله الَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ إِنََّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلاذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَايَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا

Maksudnya: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai): Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.
Riwayat al-Bukhari (3036) dan Muslim (2643)

Jelas daripada hadis ini antara lain memberi maksud, rezeki adalah milik Allah dan Allah kurniakan kepada manusia termasuklah anak kita. Justeru, jangan kita mengalasankan dengan faktor ekonomi atau kehidupan yang sedikit sukar untuk menjadikan kita mereka yang berputus asa dari rahmat dan kurniaan Allah. Yakin dan percayalah, Allah ciptakan kita serta anak-anak kita dengan rezeki yang diberikannya kepada kita dan mereka. Semoga kita menjadi mukmin dan muslim yang beriman, bertakwa dan bertawakal kepada-Nya. Amin.

Share on Myspace